Kuala Lumpur: Filem Mat Kilau : Kebangkitan Pahlawan (Mat Kilau) terus mencipta fenomena apabila mencatat kutipan RM71 juta setakat petang, hari ini.
Pengarahnya, Syamsul Yusof berkata, filem itu masih mendapat sambutan penonton selain menyifatkan momentum filem itu kuat.
"Kutipan setakat semalam lebih RM68 juta. Kalau termasuk hari ini (petang) sudah mencapai RM71 juta. Sambutan masih hebat dan luar biasa. Mungkin sebab cuti, jadi pawagam pun masih penuh. Momentum filem ini kuat.
"Saya bersyukur apabila semua orang membicarakan filem ini. Selain daripada golongan intelektual seperti doktor, pensyarah universiti, malah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pun bertitah suruh rakyat menonton filem ini, ambil manfaat daripada filem ini, kembalikan jati diri Melayu," katanya kepada Harian Metro.
Dalam masa sama, Syamsul mengakui hilang kata-kata dengan sokongan diberikan penonton bukan saja dalam negara, tapi juga di Singapura dan Brunei.
"Sangat luar biasa. Saya hilang kata. Syukur, alhamdulillah. Satu saja, saya nak mengucapkan terima kasih kepada penonton Malaysia, Singapura dan Brunei yang sentiasa memberikan sokongan kepada filem saya. Insya-Allah, saya cuba memberikan yang lebih baik untuk filem akan datang," katanya.
Ditanya mengenai kutipan Mat Kilau bagi tayangan Malaysia, Syamsul menganggarkan ia lebih RM60 juta.
"Soal kutipan di Malaysia, kena semak. Saya yakin di Malaysia saja lebih RM60 juta," katanya.
Terdahulu, kutipan filem Mat Kilau sudah melepasi jangkaan Syamsul apabila sudah berjaya mencecah RM61 juta dalam tempoh 17 hari tayangan pada 9 Julai.
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel