Sumbangan seluruh dunia datang mencurah-curah bantu wanita hafal 15 juzuk Al-Quran, teman lelaki hina Islam



PETALING JAYA: Wanita yang didakwa menghina Islam ketika berkomedi dijangka membayar ikat jamin pagi esok melalui wang yang dikumpul hasil sumbangan orang ramai.

Peguamnya, R Sivaraj, berkata sumbangan daripada orang ramai datang mencurah-curah, dengan beberapa menawarkan untuk membayar yuran guaman Siti Nuramira Abdullah.

“Sehingga pagi ini, kira-kira RM15,000 telah dikutip dan kami menjangkakan ia mencapai sasaran RM20,000 hingga tengah malam ini,” katanya kepada FMT.

Beliau menambah, pasukannya juga telah dihubungi oleh penderma dari seluruh dunia yang berminat untuk memberi sumbangan susulan tindakan undang-undang yang dikenakan terhadap Siti Nuramira.


Sivaraj berkata, ikat jamin itu dijangka dibuat jam 9 pagi esok, sambil menambah, bahawa beliau berhasrat untuk mengembalikan wang yang disumbangkan orang ramai sebaik sahaja kes anak guamnya selesai dan wang jaminan dikembalikan mahkamah.

Pada Jumaat, Sivaraj mengumumkan bahawa kumpulan hak asasi Lawyers for Liberty (LFL) akan membantu Siti Nuramira dan pasangannya, Alexander Navin Vijayachandran, untuk mengumpul dana diperlukan bagi menjamin mereka melalui sumbangan orang ramai menggunakan akaun bank LFL.

Pada Rabu, Siti Nuramira mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana menimbulkan ketidaktenteraman dalam kalangan masyarakat Islam semasa persembahannya di Kelab Komedi Crackhouse di Taman Tun Dr Ismail, pada 4 Jun lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen Siti Aminah Ghazali membenarkan Siti Nuramira diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan turut memberi amaran kepadanya supaya tidak mengulas mengenai kes berkenaan.


Pada hari yang sama, Navin, 38, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memuat naik kandungan menghina di media sosial.

Bagi pertuduhan pertama, Navin didakwa berkongsi hantaran di akaun Instagramnya pada 5 Jun dengan niat untuk menghina orang lain. Pertuduhan kedua, dia didakwa berkongsi kandungan melalui akaun YouTubenya pada 16 Jun dengan niat untuk menghina orang lain.

Hakim Mahkamah Sesyen Azrul Darus membenarkan Navin diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 1 Sept untuk sebutan semula kes. – FMT


ARTIKEL BERKAITAN:



Please subscribe


Please subscribe



Please subscribe


Please subscribe



Please subscribe



Join our Telegram Channel
Telegram