Bekas perdana menteri, Najib Razak yang memulakan hukuman penjara berada dalam
keadaan sihat, kata isterinya Rosmah Mansor.
Ditemui media selepas menemani suaminya bagi perbicaraan kes 1MDB, hari ini,
Rosmah merakam ucapan terima kasih kepada mereka yang hadir memberi sokongan.
"Alhamdulillah, dia (Najib) sihat," kata Rosmah, 70, yang berbaju kurung dan
berselendang merah jambu kepada media di perkarangan mahkamah di Kuala Lumpur.
Rosmah bagaimanapun tidak menjawab soalan pemberita sama ada Najib akan
memohon pengampunan diraja bagi kesalahan rasuah melibatkan dana SRC
International Sdn Bhd bernilai RM42 juta.
Terdahulu pagi tadi, Najib kembali ke Mahkamah Tinggi buat kali pertama
selepas dipenjarakan Selasa lalu, untuk dibicarakan berkaitan kes
penyelewengan RM2.28 bilion daripada dana pelaburan negara, 1MDB.
Bekas perdana menteri itu menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) berwarna hitam
sambil diiringi pihak polis dan Jabatan Penjara.
Kenderaan berkenaan tidak melalui pintu masuk utama kompleks mahkamah KL.
Najib kemudiannya dilihat berada dalam kompleks mahkamah dengan memakai sut
biru dan bertali leher berwarna biru tua.
Bilik mahkamah tempat perbicaraan sedang dijalankan, juga telah diletakkan
penghadang.
Bekas perdana menteri juga dilihat duduk di kandang tertuduh tanpa digari.
Sementara itu, Bernama melaporkan peguam Muhammad Shafee Abdullah yang
mewakili Najib dalam perbicaraan kes 1MDB, enggan mengulas keadaan anak
guamnya ketika ditanya media.
"Saya tidak boleh kata apa-apa… Saya tidak akan kata apa-apa, kerana anda akan
pusing dan ubah perkataan kami, malah ketika di mahkamah.
"Pergilah cari sendiri," katanya kepada media di luar kompleks mahkamah di
sini.
Sebelum itu, anak perempuan Najib, Nooryana Najwa juga enggan mengulas keadaan
bapanya ketika ditemui media, sebelum dia meninggalkan kompleks mahkamah pada
jam 1.33 petang.
Pada 23 Ogos lalu, Najib dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman
penjara selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara
12 tahun serta denda RM210 juta atau penjara lima tahun atas kesalahan
menyeleweng dana SRC International berjumlah RM42 juta.
Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat
menolak rayuan akhir Najib untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang
diputuskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020.
Please subscribe
ARTIKEL BERKAITAN:
- Kes Najib mencerminkan kegagalan institusi kita – Zaid Ibrahim
- [Video] Najib tiba di mahkamah bagi kes 1MDB
- Daddy sedang biasakan diri dengan rutin baru – Yana
- Terlalu banyak kebaikan Najib untuk saya ceritakan – Fizo
- Walaupun kalah di mahkamah tapi menang di hati, jasa Najib tidak dilupakan, hantaran terakhir FB Najib terima lebih 232,000 reaksi
- ‘Bossku’ kekal di Penjara Kajang, kata pegawai khas
- Alhamdulillah Najib sihat, kata Rosmah
Join our Telegram Channel