‘Bossku’ kekal di Penjara Kajang, kata pegawai khas



KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri Najib Razak kekal menjalani hukuman di Penjara Kajang buat masa ini.

Najib dihantar ke Penjara Kajang Selasa lalu selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International.

Pegawai khasnya Ahmad Lutfi Azhar berkata bagaimanapun beliau tidak mengetahui sama ada Najib akan dipindahkan ke Penjara Sungai Buloh.


“Setakat ini dia akan ditempatkan di Penjara Kajang. Tidak tahu bila dia akan dipindahkan ke Sungai Buloh,” katanya ketika ditemui media di Mahkamah Tinggi.

Beliau ditemui pemberita selepas kes perbicaraan kes 1MDB Najib.

Dalam pada itu, Lutfi berkata hari ini pertama kali Najib bertemu keluarganya selepas bekas perdana menteri itu menjalani hukuman penjara.

Turut hadir dalam kes perbicaraan Najib hari ini adalah isterinya Rosmah Mansor, anaknya Nooryana Najwa dan peguam Shafee Abdullah.

Najib keluar dari Mahkamah Tinggi sekitar 4.20 petang menaiki sebuah SUV.


Penyokong Najib turut menunggu bekas perdana menteri itu pulang dengan laungan “Bossku” di luar pekarangan mahkamah.

Terdahulu, Najib yang sedang menjalani hukuman penjara tiba di Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan kes 1MDB.

Najib menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya sebagai perdana menteri ketika itu untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang membabitkan jumlah sama. – FMT



Join our Telegram Channel
Telegram