BERA - Pembubaran Parlimen secara tergesa-gesa tanpa mengambil kira pelbagai aspek termasuk persediaan rapi dan dapatan kajian sama ada Barisan Nasional (BN) boleh menang atau kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), ibarat perbuatan membunuh diri.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tiada guna beliau menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen sedangkan BN belum tentu boleh menang.
Menurutnya, pembubaran Parlimen akan dibuat jika terdapat bukti kukuh BN boleh menang dan kekal berkuasa selepas PRU15 nanti.
"Tarikh PRU15 bukan boleh diumumkan begitu sahaja, banyak perkara perlu diambil kira termasuk, pertama hasil kajian sikap dilakukan oleh Wanita UMNO.
"Jika kita adakan PRU15 tanpa mengambil kira sama ada BN boleh menang tiada gunanya. Bagi saya jika nak adakan PRU15 kita wajib menang jangan jadi macam PRU14 kita kata menang tapi akhirnya kalah teruk.
"Kalau nak sedap kita kena jadi Perdana Menteri, kalau saya jadi Ketua Pembangkang semula tidak sedap," katanya ketika berucap di perasmian berkelompok Persidangan Tahunan UMNO Cawangan Bahagian Bera 2022 pada Sabtu.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bera itu berkata, PRU15 bukan boleh diadakan begitu sahaja kerana tanpa persiapan rapi, BN akan kalah teruk dan menjadi pembangkang semula.
"Kalau kita silap masuk dan tiada bukti boleh menang PRU15 dan akhirnya kita menjadi pembangkang adalah satu kerugian kepada BN. Sebab itulah saya katakan saya hanya akan bubarkan Parlimen jika ada bukti kukuh BN boleh menang PRU15.
"Saya pernah cakap semasa Konvensyen BN baru-baru ini bahawa saya sedia membubarkan Parlimen dan mengadakan PRU15 jika kajian sikap dilakukan Wanita UMNO, MIC dan MCA menunjukkan kita akan menang PRU15 nanti. Tiada guna kita masuk PRU15 jika kita tidak boleh menang," ujarnya.
Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO menambah, BN juga perlu mengambil kira impak pelbagai isu yang timbul ketika ini termasuk soal kelewatan projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) yang hangat diperkatakan.
"Adakah isu ini boleh menyebabkan kemerosotan undi dan BN kalah dalam PRU15 ini? Jadi kita kena tengok kajian sikap adakah orang kampung peduli atau tidak kapal LCS berkenaan belum siap.
"Kalau kajian menunjukkan kesan isu kelewatan pembinaan kapal LCS adalah sama seperti kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dulu, maka kemungkinan kita terpaksa tangguh niat nak adakah PRU15 dalam masa terdekat," jelasnya.
ARTIKEL BERKAITAN:
- Umno menang besar jika #PRU15 segera diadakan, kata Dr M
- Zahid gesa segerakan #PRU15 selepas komen Dr M UMNO bakal menang besar
- ‘Bubar Parlimen tergesa-gesa ibarat bunuh diri’
- #PRU15: PM bimbang ‘Parlimen tergantung’ jika tiada parti raih majoriti mudah
- Mesyuarat tergempar: Lebih 100 pimpinan UMNO mula tiba di Menara Dato' Onn
- Jangan guna alasan takut Parlimen tergantung bagi halang #PRU15 diadakan – Zahid
- Ismail Sabri, Annuar Musa, Tajuddin, Shahidan tidak muncul di mesyuarat tergempar UMNO
- 158 Ketua UMNO Bahagian desak #PRU15 segera
- #PRU15: Kena ‘tengok’ ekonomi, isu dalam negara dulu, kata Ismail
- Zahid dan saya tak ada isu, biar mahkamah tentukan kes, kata PM
- Pemimpin tertinggi UMNO dilihat masuki kediaman rasmi PM
- PM tinggalkan Seri Perdana selepas bertemu pemimpin Umno
- Zahid, Najib, pemimpin bahagian, selesai mesyuarat di PWTC, PM temui pimpinan utama lain di Seri Perdana
Join our Telegram Channel