Diperlakukan seperti lembu oleh Aliff Syukri, Kak Long 7E tampil luahkan segalanya



GARA-gara melakukan aksi yang dianggap tidak wajar, nama individu yang pernah tular kerana insiden amukan di kedai serbaneka 7-Eleven, Kak Long kembali menjadi bahan kecaman netizen.

Malah, dua selebriti yang turut bersama Kak Long iaitu usahawan, Datuk Seri Aliff Syukri dan penyanyi, Baby Shima turut terpalit sama menerusi video gandingan mereka bertiga yang dikongsi di media sosial.

Susulan pelbagai tohmahan yang dilemparkan, Kak Long atau nama sebenarnya Wan Noor Baizura menerusi video berdurasi satu minit dan 27 saat membuat pengakuan bahawa dirinya tidak dibayar atau diupah untuk beraksi sedemikian.

"Kepada netizen-netizen yang berkata buruk kepada saya. Datuk (Aliff) sebenarnya tak ada ambil saya, upah apa pun.


"Yang terjadi tu adalah kehendak saya sendiri, saya yang buat sendiri," katanya menerusi satu video yang dimuat naik di laman sosial miliknya, petang Isnin.

Menerusi video berdurasi 21 saat, aksi Kak Long dianggap sebagai 'diperlakukan seperti lembu' oleh netizen.

Video tersebut menimbulkan pelbagai reaksi warganet yang kesal melihat Aliff seakan menarik Kak Long yang 'ditunggang' oleh Baby Shima yang duduk di atas belakangnya, seperti menunggang lembu atau kuda.

Sehubungan itu, Kak Long meminta semua pihak supaya berhenti menyalahkan Aliff dan Baby Shima.

"Cukup salahkan datuk, cukup salahkan Baby Shima. Sebab ini bukan kehendak datuk, tapi adalah kehendak saya sendiri... saya yang rela hati buat sendiri.

"Buat apa awak nak marah-marah datuk? Awak tak fikir ke perasaan orang apabila awak memfitnah saya begitu.


"Okay selepas ni, kalau awak nak saya berubah jadi baik, awak pun perlu komen saya yang baik-baik. Cukup salahkan orang, datuk tak bayar saya apa pun untuk saya buat video ni.

"Untuk saya buat video dengan Baby Shima yang saya jadi begitu... tak ada orang paksa, saya dengan rela hati," tegasnya.

Menurut Kak Long, dia mahu menjalani kehidupan normal seperti orang lain.

"Saya nak hidup normal. Kalau awak cakap baik-baik dengan saya, Alhamdulillah.

"Kalau awak nak bersangka buruk dengan saya, awak fikirlah sendiri.

"Datuk tak ada kata apa-apa pada saya, tidak pun saya jadi begitu. Sebabnya ia adalah kehendak saya dengan rela hati," tambahnya.

Malah, Kak Long turut meminta semua pihak berhenti melontarkan tohmahan kepada dirinya, termasuk Aliff dan Baby Shima. – Mstar






Join our Telegram Channel
Telegram