Hasnal: Pasukan peguam baharu Najib berhak dapat penangguhan masa, perlu teliti beribu-ribu dokumen



KUALA LUMPUR – Pasukan peguam baharu bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhak untuk mendapat penangguhan masa berkaitan kes anak syarikat 1Malaysia Development Berhad, SRC International.

Menurut seorang peguam dan peguamcara, Datuk Hasnal Rezua Merican Habib Merican, seseorang tertuduh yang berhadapan dengan tuduhan yang akan menjejaskan dirinya perlu diberikan keadilan sewajarnya.

Lebih-lebih lagi, katanya, pada peringkat ini, Najib berada pada forum terakhir untuk mendapatkan keadilan dan keputusan yang akan dibuat oleh mahkamah ke atas Ahli Parlimen Pekan itu i adalah muktamad.

Justeru, peguam baharu Najib sewajarnya diberikan masa sekurang-kurangnya satu sebulan setengah untuk membuat persediaan demi memberi keadilan kepada Najib.

“Kalau kita fikirkan prosiding yang akan berlangsung ini adalah di Mahkamah Persekutuan ia adalah forum terakhir kepada mana-mana tertuduh dalam apa-apa prosiding yang bermula di peringkat Mahkamah Tinggi. Lepas ini tidak ada forum lagi.


“Kalau dia tidak mendapat atau pun dia terkilan kerana tidak mendapat keadilan yang sewajarnya di forum terakhir natijahnya mungkin tidak boleh diperbetul dan tidak boleh berpatah balik.

“Jadi sebab itu, saya rasa pada peringkat ini mungkin berlaku tolak ansur dari segi mahkamah menganjakkan sedikit masa untuk memberi ruang kepada peguam baharu untuk membuat persediaan,” kata Hasnal Rezua Merican kepada MalaysiaGazette.

Hasnal Rezua Merican berkata, pasukan yang baharu dilantik  Najib semenangnya memerlukan masa untuk membuat persediaan.

Mereka perlu meneliti beribu-ribu muka surat kenyataan saksi, bukti dokumentari yang dikemukakan semasa perbicaraan, penghakiman bertulis kedua-dua Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

Pasukan guaman baharu itu juga perlu meneliti dan menyemak nota bukti yang banyak direkodkan sepanjang perjalanan keseluruhan prosiding untuk mengenal pasti dan menyelesaikan pelbagai isu undang-undang dan fakta yang dibangkitkan.

“Proses ini sangat sukar. Kalau dalam keadaan yang munasabah sekurang-kurangnya dalam tempoh sebulan setengah. Ini minimum. Itu pun kalau kita beranggapan peguambela itu memberi sepenuh perhatian, masa dan komitmen  mengendalikan satu perbicaraan sahaja.


“Kalau dia ada kes lain, berapa banyak masa yang diperlukan? Jadi saya rasa sebulan setengah ini minimum. Tidak boleh kurang daripada itu untuk dia membuat satu kerja dan memberikan perwakilan yang memuaskan kepada seorang anak guam,” kata Hasnal Rezua Merican.

Tambahnya, masa penangguhan yang sewajarnya juga perlu diberikan kepada pasukan guaman baharu Najib kerana kes tersebut mendapat perhatian dunia.

Adalah penting, katanya, untuk mahkamah memperlihatkan kepada dunia bahawa bekas Perdana Menteri itu telah diberikan peluang dan ruang keadilan yang sewajarnya.

“Kes ini mendapat liputan antarabangsa jadi ada satu pertimbangan kepentingan keadilan di situ. Mahkamah mempunyai pertimbangan bahawa dia perlu menyelesaikan kes ini dengan segera dengan disaksikan oleh satu dunia.

“Dunia luar yang sedang menyaksikan perbicaraan ini akan menilai orang yang sedang berusaha mendapatkan keadilan di mahkamah ini diberi sepenuh ruang untuk membela diri dia. Itu pun penilaian.

“Jadi memandangkan dunia sedang melihat perkembangan kes ini bagi saya dia adalah satu perkara yang terpakai kepada kedua-dua keadaan iaitu memberi keadilan yang sebaiknya kepada Najib dan menyelesaikan kes ini dengan cepat demi kepetingan awam,” terang Hasnal Rezua Merican.

Beliau berkata, pasukan baharu Najib boleh membuat permohonan untuk membuat penangguhan apabila mahkamah mula bersidang pada 15 Oktober ini.

Datuk Hasnal Rezua Merican Habib Merican.


Malah, katanya, peguam Najib juga boleh menulis surat kepada mahkamah supaya diberikan masa kepada pasukan pembelaan yang baharu untuk membuat persediaan.

“Dia boleh membuat permohonan untuk pertimbangan atas keadaan sedia ada pada tarikh perbicaraan. Atau pun dia boleh tulis surat merayu meminta pertimbangan mahkamah.

“Tidak ada apa yang menghalang dia daripada menulis untuk meminta sekali lagi permohonan itu dipertimbangkan atas alasan-alasan tambahan ataupun alasan-alasan berbeza,” kata Hasnal Rezua Merican.

Pada 26 Julai lalu, Najib menyatakan beliau telah membuat keputusan untuk menukar khidmat firma dimiliki peguam utamanya Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah kepada firma Tetuan Zaid Ibrahim Suffian TH Liew & Partners (ZIST).

Muhammad Shafee telah mengendalikan kes tersebut sejak dari hari pertama bekas Perdana Menteri itu didakwa atas tujuh pertuduhan jenayah membabitkan wang sejumlah RM42 juta milik anak syarikat 1Malaysia Development Berhad, SRC International.

Tempat Muhammad Shafee selaku ketua pasukan peguambela Najib dalam kes SRC digantikan oleh peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik.

Pasukan guaman baharu tersebut telah memohon kepada mahkamah awal minggu lepas untuk untuk menunda tarikh pendengaran rayuan terhadap kes tersebut bagi membuat persediaan.


Bagaimanapun mahkamah pada Jumaat lepas membuat keputusan menolak permohonan tersebut dan pendengaran rayuan terakhir oleh Najib akan tetap dijalankan mengikut tarikh yang ditetapkan bermula 15 Ogos ini.

Ia adalah peluang terakhir untuk ahli Parlimen Pekan itu mendapatkan kebebasan dan sekiranya gagal, beliau perlu menjalani hukuman seperti yang ditetapkan oleh mahkamah.

Najib telah didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020 atas tujuh pertuduhan membabitkan kesalahan salahguna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram melibatkan dana SRC International yang dimasukkan ke dalam akaun bank milik Najib.

Selain dijatuhkan hukuman penjara selama 12 tahun, ahli politik itu turut dikenakan hukuman denda sebanyak RM210 juta.

Najib telah membuat rayuan ke Mahkamah Rayuan tetapi pada Disember lepas, mahkamah tetap mengekalkan sabitan dan hukuman yang telah dijatuhkan terhadapnya.

Pendengaran rayuan yang dijadualkan pada 15 Ogos ini merupakan peluang terakhir untuk Najib membela diri. – MG



Join our Telegram Channel
Telegram