Jabatan Penjara respon ‘Najib dapat bilik VIP perabot IKEA’



PETALING JAYA: Jabatan Penjara Malaysia menyangkal khabar angin bahawa bekas perdana menteri Najib Razak akan menerima layanan istimewa di Penjara Kajang.

Di Facebook hari ini, jabatan itu memuat naik tangkap layar catatan yang disebarkan menunjukkan gambar sebuah bilik yang bersih dan luas, lengkap dengan rak dan meja mirip keluaran IKEA dengan tajuk “Penjara untuk VIP”.

“Hentikan penyebaran maklumat palsu,” kata jabatan itu dalam catatannya.

Media sosial dibanjiri dengan komen mengenai kemungkinan Najib menerima layanan VIP di dalam penjara setelah Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukumannya dalam kes SRC International.


Dia dibawa ke Penjara Kajang lewat petang semalam berikutan keputusan mahkamah tertinggi itu.

Jabatan itu memberitahu FMT, tidak akan ada layanan istimewa seperti itu diberikan kepada Najib, sambil menegaskan bahawa semua banduan akan dilayan sama.

FMT juga telah menghubungi Kementerian Dalam Negeri untuk mendapatkan komen.

Dakwaan mengenai layanan istimewa terhadap banduan yang “mempunyai rangkaian” bukanlah perkara baharu kerana terdapat laporan mengenai layanan sedemikian diberikan kepada beberapa banduan.

Pada 11 Ogos 1989, Malay Mail melaporkan bahawa tokoh korporat Abdullah Ang dibenarkan berulang-alik antara penjara dan bandar semasa ditahan di Penjara Kajang.

Ang dikatakan dilihat di kilang keluarganya di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur tanpa pengawal, dua hari sebelum dia sepatutnya dibebaskan.


Menurut laporan itu, pemilik gerai yang beroperasi berhampiran kilang itu melihatnya makan tengah hari dan minum teh, sering ditemani oleh “lelaki bergaya hartawan” di dalam kereta mewah. Ang juga sesekali membungkus makanan untuk dibawa pulang ke Penjara Kajang, katanya.

Kehadirannya menjadi bualan, dengan ramai tertanya-tanya bagaimana dia berjaya keluar dari penjara dengan kerap.

Dia sepatutnya bekerja di ladang orkid di Mantin, Negeri Sembilan, yang dibangunkan oleh Jabatan Penjara.

Ang, bekas pengarah urusan Perbadanan Pelaburan Luar Negara Malaysia (MOIC) yang kini tidak lagi berfungsi, dijatuhi hukuman penjara lapan tahun oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 15 Dis 1986 selepas dia mengaku bersalah atas kesalahan pecah amanah jenayah.

Kontroversi yang menyelubungi “banduan yang menerima layanan istimewa” ini membawa kepada penstrukturan semula Jabatan Penjara menjadi mirip organisasi polis.



Join our Telegram Channel
Telegram