‘Kertas siasatan Hakim Mohd Nazlan tidak berada dengan AGC’



Terdapat kekeliruan mengenai keberadaan kertas siasatan SPRM terhadap hakim Mahkamah Rayuan Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Peguam Negara Idrus Harun enggan mengesahkan kesahihan kertas siasatan yang didakwa dibocorkan oleh penulis blog Raja Petra Kamaruddin minggu lepas.

Malaysiakini telah mendapatkan rakaman audio jawapan peguam negara kepada wartawan mengenai perkara ini.

Ditanya sama ada dia boleh mengesahkan kesahihan kertas siasatan berkenaan, Idrus menjawab: "Tak ada dengan kami."


Menjawab soalan lain mengenai kesahihan kertas siasatan yang dibocorkan, dia berkata: "Apa yang anda maksudkan tidak sahih?"

Apabila dimaklumkan bahawa Umno bertanya sama ada dokumen yang bocor itu adalah kertas siasatan yang sahih atau tidak, Idrus mengulangi: “Saya tidak tahu. Ia tak ada dengan kami.”

Pada Mei lalu, SPRM berkata ia telah menyerahkan kertas siasatan terhadap Nazlan kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) selepas mengumpul bukti berkaitan mengikut garis panduan dan prosedur yang ditetapkan.

Suruhanjaya antirasuah itu berkata kini terpulang kepada AGC untuk memutuskan tindakan seterusnya.

Pada 23 Mei, Idrus memberitahu Malaysiakini bahawa pihaknya masih meneliti kertas siasatan ke atas Nazlan.


"Kami sedang meneliti kertas siasatan sebelum kami membuat keputusan (mengenai sebarang tindakan lanjut)," katanya dalam mesej teks.

Malaysiakini telah menghubungi Idrus petang ini untuk mendapatkan penjelasan mengenai perkara itu.

Selepas Raja Petra membocorkan dokumen yang dikatakan kertas siasatan berkenaan, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan menggesa SPRM mengesahkan kesahihan dokumen itu.

Ahmad turut mempersoalkan Idrus sama ada AGC akan mengambil tindakan lanjut berdasarkan siasatan berkenaan atau tidak.

Dia juga menyatakan keputusan sebulat suara Mahkamah Persekutuan minggu lalu untuk menolak permohonan bekas perdana menteri Najib Abdul Razak untuk mengemuka bukti baru mengenai dakwaan konflik kepentingan berkaitan Nazlan.

Mahkamah Persukutuan sedang mendengar rayuan terakhir Najib terhadap sabitan dan hukumannya dalam kes SRC International.


Pada 2020, Nazlan adalah hakim Mahkamah Tinggi yang menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kepada Najib atas kesalahan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram dalam kes SRC.

Dia telah dinaikkan pangkat ke Mahkamah Rayuan pada Februari tahun ini.

Raja Petra telah menuduh hakim itu mempunyai "kekayaan yang tidak dapat dijelaskan", yang menyebabkan SPRM membuka siasatan terhadap Nazlan.

Nazlan juga membuat laporan terhadap penulis blog yang berpangkalan di UK itu.

Sementara itu, dalam hantaran di Facebook, Najib menyorot kenyataan bercanggah berkenaan dan menyiarkan beberapa laporan berita mengenai perkara itu.

“Apa sudah terjadi?” soalnya. – Mkini




ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram