Kes Najib mencerminkan kegagalan institusi kita – Zaid Ibrahim



KUALA LUMPUR – Istilah campur tangan dalam badan kehakiman hanya ciptaan atau persepsi orang politik terhadap musuhnya semata-mata, kata peguam kanan, Datuk Zaid Ibrahim.

Menurutnya, beliau sendiri tidak tahu sejauh mana campur tangan yang diuar-uarkan itu benar-benar berlaku kerana sepanjang pengalaman dan pengetahuannya, dakwaan tersebut tidak pernah berlaku, melainkan wujud penyalahgunaan kuasa antara pihak yang terlibat.

“Saya nak jelaskan, bukan kita kata campur tangan dalam badan kehakiman, saya tidak tahu sejauh mana berlaku, melainkan ini satu rekaan yang dicipta oleh musuh politik UMNO khususnya.

“Pada saya, campur tangan secara terus mana-mana kes sama ada oleh perdana menteri atau menteri, tidak ada, tapi campur tangan politik ini berlangsung bukan saja kepada mahkamah, mungkin ada juga di pihak Peguam Negara, Bank Negara Malaysia (BNM) dan banyak pihak lagi.


“Yang penting ialah proses perbicaraan itu berjalan mengikut undang-undang dan soal bebas atau bersalah adalah keputusan mahkamah,” katanya dalam temubual eksklusif dengan MalaysiaGazette di kediamannya di Petaling Jaya, semalam.

Zaid merupakan barisan peguam terakhir bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembelaan penghujahan kes SRC International Sdn. Bhd. di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya.

Mahkamah Persekutuan pada Selasa mengekalkan sabitan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib dalam kes SRC International Sdn. Bhd.

Menurut pemilik bekas firma guaman Zaid Ibrahim & Co (ZICO) itu berkata, apa yang berlaku di mahkamah seperti sesuatu kes yang dibicara kemudian ditarik balik, itu bukan kerana campur tangan, sebaliknya ada unsur menyalahgunakan kuasa.

Katanya, orang politik tidak pernah bercakap mengenai penyalahgunaan kuasa, sebaliknya mereka persepsi kononnya berlaku campur tangan pihak tertentu supaya sesuatu kes dibatalkan.


Jelas beliau, setiap proses keadilan akan melibatkan beberapa komponen iaitu pendakwaan, penyiasatan dan saksi yang boleh dipakai serta ditolak, sebelum hakim membuat keputusan.

“Ringkasnya, pada saya, dalam kes Najib dan SRC ini hanya membuktikan usaha hendak memasukkan mantan Perdana Menteri ini ke penjara, dan ia berjaya. Itu saja.

“Tetapi, dari segi sistem perundangan kita apakah Peguam Negara kita bebas? Apakah undang-undang politikal Malaysia telah berubah? Atau wujud unsur pilih kasih?

“Saya merujuk perkara ini terhadap beberapa pihak yang sedang berdepan dengan pertuduhan, tetapi telah dilepaskan. Ini yang dikatakan unsur menyalahgunakan kuasa dan ia masih ada,” katanya.

Zaid turut menjelaskan, kadang-kadang konsep keadilan negara ini dihantui oleh politik, pemikiran dan kepercayaan.

Ini katanya, berlaku ketika di era pemerintahan Pakatan Harapan (PH), yang menyaksikan beberapa pihak dilepaskan daripada kes dihadapinya.


“Soal Najib ini, dia sebenarnya sudah dihukum tahun 2018 lagi apabila pemimpin negara ketika itu mahu dia masuk ke dalam penjara, sedangkan masa itu kes baru bermula.

“Bagaimanapun, penentuan politik menentukan Najib kalah. Peliknya, rakyat terbawa-bawa dengan mainan persepsi ini hinggakan mereka tidak sanggup menunggu proses (perbicaraan) dan penyiasatan yang betul,” ujar beliau.

Ditanya kenapa Najib seorang dituduh dan dijatuhkan hukuman, sedangkan pihak lain lepas bebas, Zaid berkata, beliau juga tertanya-tanya.

Katanya, mustahil mencuri wang begitu banyak dilakukan oleh seorang, sedangkan hendak merompak kedai emas perlukan geng atau kumpulan.

“Sebenarnya pada saya, kes Najib ini mencerminkan kegagalan institusi kita sendiri. Institusi pengawalan, penyiasatan, kerajaan dan pegawai kerajaan, tetapi mereka bangga Najib masuk penjara.

“Mereka tidak sedar merekalah sebenarnya orang yang bersalah, tetapi tidak didakwa,” tegasnya. – MG



Join our Telegram Channel
Telegram