Lelaki beri bayi hisap vape ditahan



PETALING JAYA: Seorang lelaki yang tular meletakkan vape pada mulut bayi perempuan ditahan, dalam kejadian di sebuah kedai makan dekat Bandar Baru Uda, Johor Bahru, dua hari lalu.

Ketua Polis Johor Bahru Utara Rupiah Abd Wahid, berkata pihaknya menerima satu laporan polis berhubung video yang tular itu, pada 2.56 petang kelmarin, dibuat oleh ibu kepada bayi perempuan berusia tujuh bulan itu.

Beliau berkata, susulan laporan itu, polis menahan lelaki berusia 23 tahun yang dipercayai kenalan kepada ibu saudara bayi itu, pada 12.45 tengah hari tadi.


“Suspek yang juga seorang peniaga ditahan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Johor Bahru Utara (JBU). Polis akan memohon reman di mahkamah, esok,” lapor Berita Harian.

Terdahulu, tular satu video yang menunjukkan seorang lelaki “menyuapkan” rokok elektronik vape ke mulut seorang bayi, yang berada atas pangkuannya. Tindakan itu dirakam seorang wanita, yang kedengaran ketawa terhibur dengan perbuatan itu.

Perbuatan itu mendapat kecaman komuniti perubatan dan warganet, yang menyifatkannya sebagai perbuatan tidak bertanggungjawab dan mahu tindakan tegas diambil terhadap pelaku serta pihak lain yang terbabit.

Rupiah berkata, kertas siasatan sudah dibuka dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.


Mengulas lanjut, beliau berkata, ibu bayi berkenaan memaklumkan pada hari kejadian, dia dan anaknya itu berada di kedai makan terbabit bersama adik perempuannya dan suspek lelaki yang juga kenalan adiknya.

“Pengadu memaklumkan, suspek memangku bayi itu dan secara tiba-tiba dengan niat bergurau meletakkan vape yang tidak berfungsi di mulut bayi berkenaan.

“Kejadian itu dirakam adik perempuan pengadu sebelum rakaman itu dimuat naik oleh adiknya di laman media sosial, sekali gus menjadi tular. Video itu kemudian mendapat kecaman masyarakat di media sosial,” katanya. – FMT






Join our Telegram Channel
Telegram