PETALING JAYA – “Memang saya nak menunjuk ibadah kepada netizen yang suka
mengecam dan melabel saya sebagai jahil.”
Itu kenyataan penyanyi dangdut sensasi Ifa Raziah susulan tindakannya membuat
siaran langsung ketika menunaikan solat baru-baru ini.
Biarpun menyedari perbuatan tersebut bakal dikecam hebat, pemilik nama penuh
Saripah Raziah Mustapha, 46, itu tetap berbuat demikian bagi menutup mulut
segelintir netizen yang kerap mempersoalkan amal ibadahnya selama ini.
“Memang saya nak menunjuk kepada umum yang menuduh saya mencabar Allah, ahli
neraka dan tidak solat. Jadi, saya tunjuklah bahawa saya menunaikan solat dan
menjaga hubungan dengan Tuhan.
“Semua itu untuk membuktikan saya bukan seperti yang dikatakan netizen.
Walaupun saya hina pda pandangan manusia, Insya-Allah tidak pada-Nya,” katanya
kepada Kosmo! Online.
Mengulas lanjut, dia turut menegaskan individu yang mengecam tidak pernah
tinggal sebumbung dengannya apatah lagi mengetahui setiap ibadahnya.
“Mereka yang cakap saya macam-macam, seperti mereka duduk serumah pula dengan
saya.
“Tak perlulah nak menghakimi sesuka hati kehidupan saya. Namun, benda begini
jika tidak menunjuk, orang tak akan percaya.
“Saya akan cuba untuk perbaiki kelemahan diri. Hidayah semuanya datang
daripada Allah dan hanya Dia yang tahu perkara terbaik untuk saya,” katanya
lagi.
Ujarnya lagi, tanpa disedari ramai, banyak perubahan yang berlaku kepadanya
terutama berkaitan perihal ibadahnya.
“Sehingga hari ini, banyak perubahan yang berlaku kepada diri saya termasuk
amal ibadah cuma saya belum berhijab saja lagi.
“Itu saja satu dosa besar yang belum saya lunaskan lagi, yang lain semua
alhamdulillah,” jelasnya.
Pelantun lagu Ser..Ser..Ser.. itu juga belum terfikir untuk memaafkan pihak
yang mengecamnya selama ini, sebaliknya berharap dipertemukan untuk bersemuka
pada hari pembalasan kelak.
“Maafkan, tidak. Nak sekolahkan mereka juga tidak.
“Tunggu saja di Padang Mahsyar nanti,” tegasnya.
Selepas dikecam susulan isu bergelek di majlis akikah, dia sekali lagi
mengundang kecaman ramai apabila membuat siaran langsung ketika menunaikan
solat baru-baru ini.
ARTIKEL BERKAITAN:
Please subscribe
Join our Telegram Channel