Bekas perdana menteri Najib Razak malam ini sekali lagi melafazkan sumpah
mubahalah (saling laknat melaknati) bagi menafikan pembabitannya dalam
penyelewengan dana SRC International.
Najib berkata, lafaz sumpah kali ini bertujuan untuk membersihkan nama
keluarganya dan kedua ibu bapanya.
Dalam lafaz sumpahnya, Najib berkata bahawa dia tidak menyedari sama ada
secara langsung atau tidak bahawa duit sebanyak RM42 juta yang masuk ke
akaunnya adalah dari SRC International.
"Aku, Mohd Najib bin Abdul Razak setelah berjuang untuk mendapat keadilan ke
atas diri di dunia ini, dengan ini aku melafazkan ucapan mubahalah ku,” kata
Najib di Masjid Kampung Baru, di Kuala Lumpur.
Perkembangan itu hadir menjelang prosiding rayuan akhir kes bekas perdana
menteri itu di Mahkamah Rayuan pada Selasa ini.
"...Aku tidak pernah pada bila-bila masa mengetahui secara khusus atau
sebaliknya bahawa dana RM42 juta datangnya dari syarikat SRC secara langsung
atau tidak langsung.
"...Aku tidak pernah menerbitkan atau bersetuju mewujudkan syarikat SRC untuk
tujuan merangkul apa-apa dana SRC bagi tujuan kegunaan peribadi ku atau tujuan
kegunaan keluarga ku.
"...Aku tidak pernah mengarahkan mana-mana anggota pengarah atau mana-mana
pegawai SRC untuk menyelewengkan apa-apa dana syarikat SRC ke dalam akaun bank
aku untuk apa-apa tujuan pun," kata Najib lagi ketika melafazkan sumpahnya.
Najib tiba di Masjid Jamek Kampung Baru sebelum masuk waktu solat Isyak dengan
diiringi anaknya, Ashman, beberapa pemimpin politik serta penyokong.
Najib, Ashman dan beberapa pemimpin Umno yang hadir mengenakan baju putih.
Antara pemimpin Umno lain yang hadir termasuklah Setiausaha Agung Ahmad Maslan
dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Ahmad Jazlan Yaakub.
Ketibaan Najib di masjid disambut oleh penyokongnya yang hadir memberi
sokongan dan turut serta menunaikan solat hajat buat bekas presiden Umno itu.
Ahli Parlimen Pekan itu menzahirkan rasa kecewa di atas keputusan Mahkamah
Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta
terhadapnya.
Dalam sumpahnya malam ini, Najib juga mendakwa dia tidak terlibat dalam
mesyuarat kabinet bagi meluluskan jaminan kerajaan bagi pinjaman Kumpulan Wang
Persaraan (KWAP) sebanyak RM4 billion kepada syarikat SRC untuk tujuan
mendapatkan habuan haram.
Sebelum mengakhiri sumpahnya, Najib sekali lagi melafazkan kesediaannya untuk
dilaknat Allah SWT jika dia berbohong.
"Sekiranya aku berdusta di atas sumpah ku ini, ya Allah...Maka ya Allah
halallah laknat ke atas diriku.
"Sebaliknya jika semua ini fitnah yang telah dirancang oleh musuh-musuh
politik ku, maka ya Allah aku bermohon sesungguhnya kepada Mu agar engkau
laknati lah mereka, serta orang-orang yang bersubahat dan bersekongkol dengan
mereka," katanya sambil disambut dengan ucapan "amin" oleh jemaah yang hadir.
Pada Disember tahun lalu, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Najib untuk
mengenepikan sabitan yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi pada 28 Julai 2020 atas
pertuduhan salah guna kuasa, jenayah pecah amanah dan pengubahan wang haram.
Najib kemudian mengemukakan rayuan terakhir di Mahkamah Persekutuan bagi
mengenepikan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta bagi
kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC.
Hukuman ditangguhkan sementara proses rayuan selesai.
Sejarah sumpah Najib
Untuk rekod, pada 2019, Najib pernah melafazkan sumpah bagi menafikan dakwaan
pembabitannya dalam kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu.
Pada 28 Julai 2020 pula, Najib melafazkan sumpah serupa berhubung kes SRC bagi
menyatakan bahawa dia tidak tahu mengenai RM42 juta yang disalurkan ke
akaunnya.
Please subscribe
Join our Telegram Channel