PUTRAJAYA: Meskipun berdepan desakan lantang Umno yang mahukan PRU tahun ini, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menegaskan beliau perlu mengambil kira pelbagai isu dalaman negara selain keadaan ekonomi sejagat, sebelum membuat keputusan mengenai tarikh pembubaran Parlimen.
“Mungkin tak sesuai buat pilihan raya masa ekonomi tengah teruk (tahun depan),” katanya, dalam wawancara khas dengan FMT dan beberapa media lain Rabu lalu, sempena setahun Keluarga Malaysia.
“Kita takut tentang ketidaktentuan ekonomi tahun depan, kalau kita tunggu lagi susah. Kalau kita kata tahun ini, isu-isu banyak yang masih perlu diselesaikan,” kata Ismail.
Beliau yang juga naib presiden Umno, menyifatkan kontroversi kontrak pembelian kapal tempur pesisir (LCS) bernilai RM9 bilion sebagai isu terbaharu yang perlu ditangani.
Semalam, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi memberi amaran BN yang ditunjangi Umno akan tewas jika PRU15 tidak diadakan segera, kerana ia akan memberi ruang kepada pembangkang menimbulkan pelbagai persepsi untuk menghakis sokongan terhadap BN.
“Segerakanlah atau Umno-BN akan tewas PRU. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak lah berguna,” kata Zahid yang juga pengerusi BN.
Dalam wawancara yang diatur sebelum Zahid mengeluarkan amaran itu, Ismail berkongsi dengan FMT dan beberapa media lain mengenai dilema mencari masa paling sesuai untuk mengadakan PRU demi memastikan kemenangan BN.
Selain keperluan mengurus isu-isu dalam negara, Ismail berkata unjuran badan-badan antarabangsa dan pemimpin dunia yang meramalkan ekonomi sejagat akan perlahan tahun hadapan perlu diambil kira.
“Presiden Indonesia Jokowi sudah beritahu (dan) Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong pun beritahu tahun depan bukan tahun yang baik dari segi ekonomi. Tabung Kewangan Antarabangsa pun kata pertumbuhan akan menurun,” kata Ismail.
Ismail berkata sungguh pun lebih 400,000 pekerjaan sudah diwujudkan tahun ini, namun beberapa masalah rakyat lagi harus ditangani termasuk isu gaji minimum RM1,500 yang diluluskan tapi mungkin memerlukan penambahbaikan.
Meskipun wartawan berulang cuba mendapat isyarat lebih jelas mengenai tarikh PRU, Ismail hanya berkata: “pilihan raya akan diadakan sama ada tahun ini atau tahun depan”.
Mandat kerajaan sekarang akan berakhir pada Jun 2023 dan PRU15 harus diadakan sebelum atau pada 14 Sept.
Ismail turut menjelaskan bahawa beliau tidak mempunyai kuasa mutlak berhubung pembubaran Parlimen kerana ia turut melibatkan Jemaah Menteri. Selain Umno, Jemaah Menteri Ismail disertai wakil Perikatan Nasional, dan parti daripada Sabah dan Sarawak.
“’Top five’ (Umno) boleh beri cadangan kepada saya, dan saya perlu juga bincang dalam Jemaah Menteri dan beri juga pandangan kepada mereka sebab dalam Perlembagaan menasihatkan Agong itu kuasa Jemaah Menteri atau pun menteri yang diberi kuasa oleh jemaah.
“Maknanya, Jemaah Menteri pun ada ‘say’ (hak) dari segi Perlembagaan. Orang terlupa perkara ini sebab dulu tak payah bincang pun dalam Jemaah Menteri sebab kita 100% (Barisan Nasional). Sekarang ini kita bukan 100%,” kata Ismail.
“Top five” yang dirujuk oleh Ismail adalah presiden, timbalan presiden, dan tiga naib presiden Umno.
Dalam pada itu, Ismail mengesahkan Belanjawan Malaysia 2023 akan dibentangkan Okt depan setelah melalui sesi libat urus bersama pelbagai pihak, termasuk pembangkang.
ARTIKEL BERKAITAN:
- Umno menang besar jika #PRU15 segera diadakan, kata Dr M
- Zahid gesa segerakan #PRU15 selepas komen Dr M UMNO bakal menang besar
- ‘Bubar Parlimen tergesa-gesa ibarat bunuh diri’
- #PRU15: PM bimbang ‘Parlimen tergantung’ jika tiada parti raih majoriti mudah
- Mesyuarat tergempar: Lebih 100 pimpinan UMNO mula tiba di Menara Dato' Onn
- Jangan guna alasan takut Parlimen tergantung bagi halang #PRU15 diadakan – Zahid
- Ismail Sabri, Annuar Musa, Tajuddin, Shahidan tidak muncul di mesyuarat tergempar UMNO
- 158 Ketua UMNO Bahagian desak #PRU15 segera
- #PRU15: Kena ‘tengok’ ekonomi, isu dalam negara dulu, kata Ismail
- Zahid dan saya tak ada isu, biar mahkamah tentukan kes, kata PM
- Pemimpin tertinggi UMNO dilihat masuki kediaman rasmi PM
- PM tinggalkan Seri Perdana selepas bertemu pemimpin Umno
- Zahid, Najib, pemimpin bahagian, selesai mesyuarat di PWTC, PM temui pimpinan utama lain di Seri Perdana
Join our Telegram Channel