MAHKAMAH Persekutuan pada Jumaat bakal membuat ketetapan berhubung rayuan akhir Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengetepikan sabitan, hukuman 12 tahun penjara dan denda RM210 juta yang dikenakan terhadapnya dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik Syarikat SRC International Sdn Bhd.
Pada Khamis, bekas Perdana Menteri itu mengemukakan rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan.
Sebelum ini, dua permohonan dikemukakan pasukan pembelaan Najib pada Isnin dan Selasa lalu di hadapan panel lima hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.
Permohonan pertama melibatkan cubaan Najib mengemukakan bukti baharu bagi mengaitkan latar belakang pembabitan bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali dengan SRC.
Permohonan kedua pula adalah usaha pasukan pembelaan Najib untuk menangguhkan rayuan utama kes SRC bagi tempoh antara tiga hingga empat bulan atas alasan membuat persediaan kerana pasukan pembelaannya baharu dilantik.
Kedua-dua permohonan itu bagaimanapun ditolak oleh panel lima hakim yang bersidang.
Ahli Parlimen Pekan itu menerusi hantaran di Facebook pada Khamis mengakui tidak malu untuk menyatakan dirinya benar-benar terdesak kerana tidak dapat mempertahankan diri dengan adil selepas permintaan peguam belanya, Hisyam Teh Poh Teik untuk mengecualikan diri ditolak Mahkamah Persekutuan.
Beliau berkata, dirinya kini berada dalam situasi di mana hak untuk mendapatkan peguam dan perbicaraan yang adil hanyalah sekadar ilusi.
Dalam pada itu, Najib turut menjelaskan bukan niatnya untuk melengah-lengahkan proses mahkamah, tetapi kerana permohonan Peguam Diraja (QC) dari United Kingdom (UK), Jonathan James Laidlaw akhirnya ditolak kurang dari sebulan sebelum tarikh yang dijadualkan.
Justeru, katanya, keperluan untuk penglibatan peguam baharu muncul secara tiba-tiba.
Sementara itu, Mahkamah Persekutuan diberitahu bahawa semua tindakan yang diambil oleh Najib dalam kes SRC adalah untuk mencapai hasrat peribadi beliau bagi mendapat perolehan secara salah kepada syarikat itu.
Timbalan Pendakwa Raya Kanan adhoc, Datuk V Sithambaram berhujah bahawa tidak ada sebarang bukti yang menunjukkan Najib bertindak bagi melindungi atau memelihara kepentingan SRC, sebagaimana yang dipertanggungjawabkan kepadanya secara undang-undang.
Katanya, Najib berperanan sebagai Perdana Menteri, menteri kewangan dan penasihat emeritus syarikat itu.
ARTIKEL BERKAITAN:
- Rayuan kes SRC: Nasib Najib diketahui hari ini
- Najib gugur firma Zaid sebagai peguam cara
- Kenapa perbicaraan Najib dilakukan dengan tergesa-gesa, hanya kurang 3 tahun berbanding Anwar lebih 6 tahun?
- Permohonan tangguh ditolak, rayuan akhir kes SRC Najib bersambung minggu depan
- Tidak akan ada hujahan daripada kami, peguam Najib beritahu Tengku Maimun
- Zaid: Kami dah lakukan terbaik tapi keputusan mahkamah 'sukar dipercayai'
Join our Telegram Channel