Umno menang besar jika #PRU15 segera diadakan, kata Dr M



PETALING JAYA: Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad mendakwa pendirian Umno yang mahukan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) diadakan lebih awal kerana yakin rakyat masih memandang tinggi terhadap parti itu.

Menerusi temu bual dengan The Associated Press yang disiarkan Astro Awani, Ahli Parlimen Langkawi itu, berkata ketika ini pembangkang sudah berpecah-belah, sekali gus memberi ruang kepada Umno untuk menang besar.

“Saya fikir mereka (Umno) mahu mengadakan PRU tahun ini. Kalau boleh mungkin seawal dua tiga bulan dari sekarang kerana mereka merasakan ketika ini rakyat masih memandang tinggi terhadap mereka.


“Malah, pembangkang pula sudah berpecah belah,” katanya.

Jelas beliau lagi, Umno berkemungkinan akan menang besar jika PRU15 diadakan secara tergesa-gesa.

“Jadi dari sudut kerajaan, pilihan raya awal adalah satu perkara yang baik kerana kerajaan sudah bersedia dan pembangkang pula tidak bersedia,” katanya.

Sebelum ini, beberapa pemimpin Umno termasuk presidennya, Ahmad Zahid Hamidi, mendesak PRU15 diadakan secepat mungkin bagi mengembalikan mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan baharu.


Zahid dipetik sebagai berkata, gesaan itu dibuat setelah melihat kedudukan kerajaan yang amat rapuh dan negara berada dalam keadaan kerugian apabila tiada pelaburan langsung asing (FDI) yang masuk ke negara ini.

Bagaimanapun, ada juga kalangan pemimpin Umno yang tidak bersetuju dengan pandangan tersebut dan berpendapat kerajaan sedia ada perlu kekal hingga habis penggal PRU14, iaitu pada pertengahan tahun depan.

Antaranya, Ahli Parlimen Umno Padang Rengas Nazri Aziz yang tidak bersetuju jika PRU diadakan awal kerana boleh menimbulkan kucar-kacir. – FMT


ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram