Zahid: Saya, Najib tidak pernah minta PM gugurkan kes



Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata dia tidak pernah menuntut Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk menggugurkan kesnya di mahkamah.

Menurutnya, dia percaya Najib Razak juga tidak mahu menggugurkan kes di mahkamah.

Sebaliknya, kata Zahid bekas perdana menteri itu sama seperti dirinya "hendak membersihkan namanya di mahkamah."

"Apa yang dituntut oleh Datuk Seri Najib hanyalah perbicaraan yang adil.


"Ini yang terkilan. Apa yang dipohon hanyalah penangguhan.

"Bukan pengguguran kes atau sengaja untuk melengahkan kes," katanya ketika berucap di Dewan Merdeka WTC Kuala Lumpur hari ini.

Pada 23 Ogos, Najib mula menjalani hukuman penjara 12 tahun. Ini berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Pada pertengahan Ogos, Mahkamah Persekutuan menolak permohonannya untuk mengemukakan bukti baru. Peguam baru Najib juga gagal mendapat penangguhan pendengaran selama beberapa bulan, atas dasar mereka perlukan masa untuk membuat persediaan.

Susulan itu, Najib mengeluarkan kenyataan berkenaan bagaimana haknya untuk kebebasan dan mendapat perbicaraan yang adil telah dinafikan.


Pada 21 Julai lalu, permohonannya untuk menggunakan khidmat peguam diraja United Kingdom (UK) juga gagal apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan peguam tersebut, Jonathan Laidlaw untuk mewakili Najib.

Bagaimanapun, perbicaraan Najib di mahkamah bagi kes lain belum berakhir.

Dia kini masih dibicarakan atas empat pendakwaan berkaitan menggunakan kedudukannya untuk mendapat rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram untuk jumlah yang sama.

Dalam pada itu, Zahid juga berkata isu pemenjaraan Najib dapat menjadi asbab penyatuan Umno.

"Peristiwa ini sepatutnya menyatukan kita bukan memecahkan kita

"Jangan ada kluster-kluster. Kita hanya ada satu kluster iaitu kluster Umno

"Cubit peha kanan, peha kiri terasa sakitnya," katanya lagi.





Join our Telegram Channel
Telegram