Kota Kinabalu: Dua lelaki masing-masing dihukum penjara 30 tahun dan 13 tahun oleh Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas kesalahan merompak seorang wanita secara bersenjata dan melakukan jenayah seksual terhadap mangsa.
Tertuduh pertama, Awang Mohammad Fazrie Said, 25 turut dihukum rotan tiga sebatan, manakala tertuduh kedua, Hafis Durahaman, 30, dikenakan empat sebatan.
Kedua-dua mereka yang bersenjatakan pisau dituduh merompak telefon bimbit iPhone 7 Plus dan wang tunai RM200 milik wanita berusia 35 tahun antara 9 hingga 10 pagi di sebuah rumah tidak bernombor di Penampang pada 25 Ogos lalu.
Hakim Azreena Aziz menjatuhkan hukuman penjara masing-masing 10 tahun dan satu sebatan terhadap kedua-dua tertuduh selepas kedua-duanya mengaku salah terhadap pertuduhan berkenaan.
Awang Mohammad Fazrie turut menerima enam tahun penjara dan satu sebatan atas kesalahan cubaan merogol mangsa di tempat dan waktu yang sama, selain dihukum penjara 12 tahun dan satu sebatan lagi kerana memaksa mangsa melakukan oral seks di tempat dan waktu yang sama.
Azreena memerintahkan hukuman penjara bagi kesalahan seksual dilaksanakan serentak, manakala hukuman secara berasingan bagi kesalahan rompakan bersenjata.
Tertuduh kedua pula turut dihukum penjara tiga tahun dan tiga sebatan lagi atas kesalahan mencabul kehormatan mangsa yang sama pada kejadian rompakan bersenjata berkenaan ketika dihadapkan di Mahkamah Majistret.
Majistret Stephanie Sherron Abbie memerintahkan hukuman penjara berkenaan dijalankan serentak dengan hukuman penjara bagi kes rompakan bersenjata.
Sementara itu, di Mahkamah Sesyen berasingan, Awang Mohammad Fazrie dihukum penjara 24 bulan lagi atas kesalahan menyimpan telefon bimbit curi milik seorang wanita lain.
Awang Mohammad Fazrie mengaku salah di hadapan Hakim Noor Hafizah Mohd Salim kerana melakukan kesalahan itu pada 8.40 malam, 30 Ogos lalu di pekarangan Stesen Petronas Kampung Bakut, Tuaran.
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel