Ahli PAS Johor muak, enggan terlibat #PRU15



Pewakilan PAS Johor, Karim Deraman, meluahkan rasa kecewanya dengan sikap ahli-ahli parti itu di negeri terbabit yang didakwanya enggan terlibat dengan gerak kerja pilihan raya.

Katanya ia berlaku ketika jumlah ahli PAS di Johor serta beberapa negeri lain di selatan tanah air sememangnya tidak begitu ramai.

"Dahlah tak ramai, tak mahu terlibat pula dengan gerak kerja pilihan raya," katanya semasa membahaskan ucapan dasar presiden, hari ini.

Disebabkan itu, kata Karim, PAS Johor meminta agar pemimpin pusat turun padang ke negeri itu selaras dengan hasrat mereka untuk bertanding di beberapa kawasan parlimen dalam PRU akan datang.


Dalam PRU itu nanti, katanya, PAS Johor berazam untuk melahirkan ahli parlimen sulung dari negeri berkenaan.

"Sekurang-kurangnya satu," katanya.

Sebagai rekod pada pilihan raya negeri (PRN) Johor sebelum ini, PAS - yang bertanding di bawah gabungan Perikatan Nasional (PN) - hanya memenangi satu kerusi DUN.

Bagaimanapun PAS tidak pernah meraih kemenangan di peringkat parlimen.

Kata Karim, pihaknya meminta pimpinan pusat PAS perlu selalu turun ke Johor untuk memberi motivasi kepada ahli-ahli.


"Sebab ahli kita ini, kita dah muak dah di Johor.

"Kepimpinan Johor bagi motivasi, (mereka kata) alah orang Johor saja... jadi kami minta pimpinan pusat turun selalu ke Johor," ujarnya.

Sementara itu Karim yang juga timbalan pesuruhjaya PAS Johor turut memohon pimpinan pusat agar dapat membantu menyelesaikan masalah hubungan mereka dengan Umno negeri.

Katanya, ketika ini mereka berdepan dengan masalah dan usaha mengatasinya menemui jalan buntu.

"Kita dah hantar surat untuk adakan pertemuan tapi tak dilayan.


"Jadi kita mintalah, kalau boleh menteri dan timbalan-timbalan menteri kita, atas kapasitinya sebagai kerajaan pusat, turun ke Johor dalam apa-apa aktiviti yang ada, dalam pada itu jumputlah kita bersama untuk kita merealisasikan dan memperlihatkan keberadaan kita di Johor.

"Semoga rakyat tahu kita ada di Johor," tegas Karim.

Mengulas perbahasan itu, Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Muhammad Sanusi Md Nor, memberi peringatan ringkas susulan kenyataan berkenaan.

Kata Sanusi, dia berharap PAS di semua peringkat mengelak daripada berselisih faham. Katanya masalah memang selalu ada di peringkat negeri-negeri namun ia perlu dikawal.

"Kalau nak berkelahi, tunggu selepas PRU," katanya dalam ucapan penggulungannya. – Mkini



Join our Telegram Channel
Telegram