KOTA BHARU – Seorang wanita direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi
membantu siasatan kes dera berhubung video tular memaparkan tindakannya
membaling meja kayu kepada anak lelakinya yang berusia lapan tahun di sebuah
rumah di sini, enam bulan lalu.
Suspek yang berusia 36 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Kok Lanas di sini
kira-kira pukul 3.30 petang semalam selepas bekas suaminya atau bapa mangsa
membuat laporan polis pada 10 Mac lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata,
siasatan mendapati, bekas suami suspek mengetahui kejadian itu selepas
menerima panggilan telefon daripada teman lelaki kepada wanita itu yang
memaklumkan mengenai insiden membaling meja itu yang berlaku pada 9 Mac.
Menurutnya, suspek didapati tinggal bersama anak lelakinya yang bersekolah di
sini selepas bercerai dengan suaminya dua tahun lalu.
“Suspek bersama bekas suaminya berkahwin di Thailand pada 2012 dan mempunyai
dua orang anak. Selepas bercerai, wanita itu menjaga anak lelakinya manakala
bekas suaminya tinggal bersama seorang lagi anak perempuan di Tampin, Negeri
Sembilan.
“Pada awalnya, bekas suami wanita itu cuba menyelesaikan masalah tersebut
dengan suspek berhubung hak penjagaan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan di
sini hari ini.
Menurut Mohd. Rosdi, mangsa telah dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II
di sini dan menerima rawatan sebagai pesakit luar.
Katanya, kanak-kanak itu juga akan diserahkan kepada pihak Jabatan Kebajikan
Masyarakat untuk tindakan lanjut.
Tambahnya, suspek direman selamat tujuh hari bermula hari ini sehingga Jumaat
depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel