PETALING JAYA: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin menyarankan
Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen bagi memberi laluan
kepada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), jika gagal menguruskan ekonomi dan
negara dengan baik.
“Barisan Nasional sedang menekan perdana menteri untuk membubarkan Parlimen
dengan segera supaya pilihan raya dapat diadakan. Saya belum sampai ke tahap
mahu mendesak perdana menteri supaya membubar Parlimen.
“Tetapi, saya pun terfikir, jika perdana menteri terus gagal mengurus ekonomi
dan negara dengan baik, eloklah pilihan raya diadakan supaya kerajaan baharu
yang lebih cekap, prihatin dan bebas rasuah dapat dipilih oleh rakyat,”
katanya dalam catatan di Facebook.
Kajian yang dilaksanakan Merdeka Centre for Opinion Research pada Disember
2021 mendapati 12% rakyat mula mengikat perut dengan makan hanya sekali atau
dua kali sehari, 12% terpaksa tangguh rawatan perubatan dan 31% lewat bayar
hutang serta bil kerana tiada wang.
Kajian oleh Mindshare pula menunjukkan 61% rakyat Malaysia berada dalam
kumpulan berpendapatan terkebawah (B60), dengan pendapatan isi rumah di bawah
RM5,000 sebulan, selepas pandemik Covid-19 melanda negara, manakala 76%
daripada kumpulan itu berpendapatan kurang RM3,000 sebulan.
Muhyiddin berkata, kejatuhan nilai ringgit, kenaikan kadar inflasi dan keadaan
ekonomi pasca pandemik memberi kesan buruk kepada kehidupan rakyat.
“Selaku pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), saya telah menyuarakan
kebimbangan saya dan mengemukakan beberapa cadangan MPN kepada kerajaan,
termasuk melaksanakan semula moratorium untuk perusahaan mikro, kecil dan
sederhana yang terkesan.”
Katanya, banyak perniagaan atau perusahaan terpaksa menutup atau mengecilkan
operasi kerana kekurangan tenaga kerja, industri pula menanggung kerugian dan
pemulihan negara terencat disebabkan masalah itu.
Beliau turut mendakwa isu kejatuhan nilai ringgit tidak dipandang serius oleh
perdana menteri yang gagal menjelaskan langkah akan diambil kerajaan untuk
membendungnya.
“Malah, dikatakan ini bukan masalah besar. Kononnya, Malaysia tidak berada
dalam krisis. Malaysia mengimport sebahagian besar bahan makanan. Tahun lalu,
nilai import bahan makanan saja mencecah RM63 bilion. Jika nilai ringgit terus
merudum, harga barangan makanan akan menjadi lebih mahal.
“Is this okay? No, it is not okay. Nampaknya, perdana menteri tidak memandang
semua isu ini sebagai sesuatu yang penting.”
Kelmarin, Ismail dilaporkan berjanji akan segera berbincang dengan “Top Five”
Umno mengenai pembubaran Parlimen.
“Kita sudah hampir ke PRU15…percayalah sikit masa lagi. Saya mendengar dengan
jelas (gesaan pembubaran),” kata Ismail pada Ahad lalu.
Susulan itu, Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan dilaporkan berkata, parti itu
yakin PRU15 akan diadakan antara Oktober hingga Disember ini, bersandarkan
ucapan perdana menteri bahawa pembubaran Parlimen akan dibuat sedikit masa
lagi.
Rundingan “Top Five” Umno yang dijadualkan 30 Sept ini akan diteruskan.
ARTIKEL BERKAITAN:
- Jika PM terus gagal urus negara, eloklah adakan #PRU15 – Muhyiddin
- Kalau kerajaan gagal, Muhyiddin pun gagal, kata Ismail
- PM gagal, Muhyiddin jangan hanya menyalak, sila tekan butang – Asyraf
- Banyak cadangan PM dibantah ‘rakan dalam kerajaan’, elok bubar Parlimen, dakwa Bung
- Kritikan Muhyiddin bukti perlunya kestabilan dipulihkan – Zahid
- Meeting kabinet: Menteri Bersatu, PAS bantah #PRU15 tahun ini
- Muhyiddin kecewa kerajaan lambat ambil tindakan pulih ekonomi
Join our Telegram Channel