Kes Ebit Lew: Firdaus Wong terima gambar kemaluan, mesej lucah dari mangsa



TENOM: Pendakwah bebas, Firdaus Wong memberitahu mahkamah beliau menerima menerima kiriman gambar serta beberapa tangkap layar berunsur lucah dikaitkan dengan seorang pengadu wanita yang dikongsi oleh saksi pendakwaan pertama, Mohd Fairuz Abu atau Akhi Fairuz Al-Jengkawi.

Firdaus yang juga pengasas pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Multiracial Reverted Muslim (MRM) berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria di Mahkamah Majistret Tenom, hari ini.

Firdaus Wong atau nama sebenarnya Firdaus Wong Wai Hung, 39, berkata, semua gambar dan tangkap layar berkenaan diterimanya menerusi mesej aplikasi WhatsApp.


"Hal ini selepas Akhi memaklumkan kepada saya bahawa pengadu telah menerima mesej serta gambar-gambar lucah daripada Ebit Lew.

"Antaranya adalah satu gambar kemaluan lelaki dan tangkap layar mesej lucah," katanya ketika sesi perbicaraan kes gangguan seksual membabitkan pendakwah terkenal, Ebit Lew, hari ini.

Firdaus memaklumkan hantaran berkenaan dimuat naik Akhi selepas berbincang dengannya dan mendapati terdapat wanita-wanita lain yang telah mengadu kepada mereka berhubung gangguan seksual yang dilakukan oleh Ebit Lew.

"Oleh itu, kami menawarkan sekiranya ada wanita lain di luar sana yang menjadi mangsa gangguan seksual untuk tampil ke hadapan tanpa perlu risau," katanya.


Majistret Nur Asyraf Zolhani menangguhkan prosiding hari terakhir kes dan perbicaraan akan disebut semula pada 20 sehingga 22 Disember depan.

Ebit pada 18 Februari lalu didakwa atas 11 pertuduhan melibatkan hantaran gambar serta perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seseorang melalui aplikasi WhatsApp.

Semua kesalahan itu didakwa berlaku ke atas seorang wanita Melayu di daerah Tenom antara Mac hingga Jun 2021.

Perbicaraan kes gangguan seksual yang dikaitkan dengan Ebit Lew berlangsung 27 hingga 30 September ini. – Awani
Join our Telegram Channel
Telegram