ALOR SETAR: Gurauan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin bahawa beliau akan bertanding bagi salah satu kerusi Parlimen di negeri ini seakan-akan benar.
Ini berikutan, seorang pemimpin UMNO di negeri ini mendedahkan terdapat perbincangan mengenai perkara itu dilakukan sebelum ini.
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Zambri Mat memaklumkan, memang terdapat ura-ura untuk mencalonkan Menteri Kesihatan itu di Parlimen Alor Setar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Dalam mesyuarat UMNO Cawangan, keseluruhan usul mahu Datuk Mohd. Yusof Ismail (Ketua UMNO Bahagian Alor Setar) bertanding di Parlimen Alor Setar, tempat MCA yang kalah dua penggal.
“Juga dibincangkan ‘secara berdua’ adalah kemungkinan membawa YB KJ (Khairy) bertanding di Parlimen Alor Setar. Ingatkan sulit kami berdua sahaja tahu.
“Rupanya semasa mesyuarat bersama beberapa agensi di bawah Majlis Perundingan Usahawan yang dihadiri hampir 30 orang, Datuk Mohd. Yusof ‘berjiwa besar’ memaklumkan kepada pegawai pejabat kesihatan daerah agar bersedia kerana Menteri nak bertanding di Parlimen Alor Setar,” katanya dalam kemas kini status di Facebook miliknya.
Semalam, bekas Ketua Pemuda UMNO itu secara berseloroh mengatakan akan bertanding di Kedah pada PRU15 nanti.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada akan menerima pelawaan untuk bertanding kerusi Parlimen bagi UMNO di negeri lain.
“Hari ini, saya berada di sini (Kedah) untuk berbincang dan berunding dengan Yang Amat Berhormat Menteri Besar. Mak saya dari Kedah,” kata Khairy.
Mohd. Yusof baru-baru ini sekali lagi mengulangi ketegasannya agar Barisan Nasional (BN) meletakkan calon daripada UMNO berbanding MCA bagi kerusi Parlimen Alor Setar dalam PRU15.
Menurutnya, ia berikutan komposisi pengundi di Parlimen berkenaan yang mana memiliki lebih 65 peratus pengundi Melayu dan hanya 23 peratus pengundi Cina.
ARTIKEL BERKAITAN:
- KJ tak bertanding di Rembau, bagi laluan pada Tok Mat
- Senario terburuk, saya tak tanding PRU15, kata Khairy
- Tanding Seremban? DAP kata 'tak gentar', Pemuda alukan KJ
- UMNO Tampin tak nak KJ, mahu anak tempatan jadi calon MP
- “Saya tak pernah kata tanding Parlimen Rembau” – Tok Mat
- ‘I speak the truth’, KJ jawab Tok Mat
- KJ bakal tanding Parlimen Alor Setar kerusi trasidi MCA
Join our Telegram Channel