KJ tak bertanding di Rembau, bagi laluan pada Tok Mat



Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin mengakui bakal 'berpindah' ke kawasan Parlimen lain dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

Menurutnya, ini susulan kerusi yang disandang Menteri Kesihatan itu sejak tiga penggal lalu diberi kepada Datuk Seri Mohamad Hasan yang menyatakan hasrat untuk bertanding di situ.

Beliau berkata, sebagai orang parti, dia perlu akur dengan arahan Timbalan Presiden Umno itu dan patuh kepada pucuk pimpinan.


"Tok Mat (Mohamad Hasan) ada beritahu yang dia mahu bertanding di Rembau. Jadi sebagai orang parti, Timbalan Ketua Bahagian Umno Rembau perlu akur dengan arahan itu.

"Tapi saya masih tidak tahu kawasan mana untuk bertanding kerana saya hanya fokus kepada kawasan sendiri dan tidak mahu kacau kawasan orang lain," katanya dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Penutupan Minggu Kesedaran Pendermaan Organ Peringkat Kebangsaan 2022, di Dataran Projek Perumahan Rakyat Seri Alam 2, di sini, hari ini.

Khairy berkata, beliau juga akur jika namanya tidak dicalonkan Umno untuk mewakili Barisan Nasional (BN) dalam PRU-15 akan datang.


"Saya akan mencari kawasan lain yang mahukan saya tapi masih belum dipastikan lagi kawasan mana setakat ini.

"Tidak pernah terfikir untuk bertanding di tempat lain dan sekarang tengah berusaha jika ada tempat yang mahukan saya.

"Saya ikut apa yang pucuk pimpinan parti tetapkan termasuk menerima kalau tidak dibenarkan bertanding," katanya. – Hmetro




Join our Telegram Channel
Telegram