MB Selangor ‘koyak’ ancam rakyat biasa dengan saman, satu bentuk ugutan



Kumpulan masyarakat sivil mengkritik Amirudin Shari selepas menteri besar Selangor itu mengancam akan mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang pengguna Twitter berhubung isu penyahwartaan Hutan Simpan Bukit Cherakah seluas 406.22 hektar.

Pusat Kewartawanan Bebas Malaysia (CIJ) dalam kenyataan Twitter berkata adalah ‘berbahaya’ bagi seorang menteri besar membuat kenyataan sedemikian.

“Ancam rakyat biasa dengan saman fitnah adalah satu bentuk ugutan.

"Sebagai pegawai kerajaan, adalah berbahaya untuk menetapkan duluan seperti ini kerana ini boleh menjejaskan dan menyenyapkan penyertaan orang ramai, dan boleh menimbulkan kesan menggerunkan terhadap kebebasan bersuara," kata kumpulan itu hari ini.


Nada yang sama disuarakan kumpulan alam sekitar, Klima Action Malaysia (KAMY) yang meminta menteri besar Selangor itu untuk "menghentikan ugutan".

Dalam rantaian Twitter yang sama, kumpulan alam sekitar itu menyatakan rasa kecewa dengan keputusan kerajaan negeri melaksanakan penyahwartaan Hutan Simpan Bukit Cerakah bagi mengelak risiko tindakan undang-undang oleh syarikat berkepentingan.

“Simposium iklim semalam di @ParlimenMy menunjukkan keazaman politik yang kuat bagi tindakan iklim & tadbir urus yang baik daripada @pakatanharapan_ .

“Berhenti alihkan beban kerugian & kerosakan kepada generasi akan datang,” kata kumpulan itu, yang menggunakan tanda pagar #SaveBukitCherakah .


Semalam, Amirudin mengancam akan mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang pengguna Twitter berhubung isu penyahwartaan 406 hektar Hutan Simpan Bukit Cerakah.

Ia selepas pengguna Twitter itu mempersoalkan jika penyahwartaan itu dibuat kerana Amirudin mencari dana politik bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

"Bagi alamat bang. Saya nak saman kerana tuduh saya ambil duit dari developer," kata Amirudin.

Amirudin juga sekali lagi menjelaskan kerajaan negeri memutuskan untuk meneruskan proses penyahwartaan - yang diluluskan pada 2000 - bagi mengelak tindakan undang-undang.


Pada 11 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam memutuskan bahawa kawasan seluas 406 hektar hutan itu akan kekal diwartakan sementara menunggu perbicaraan terhadap penyahwartaannya.

Perintah itu dikeluarkan oleh hakim Shahnaz Sulaiman sementara menunggu permohonan kebenaran semakan kehakiman didengar pada 28 Sept.

Rimba Komuniti Shah Alam (SACF) dan Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) memohon kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman bagi membatalkan penyahwartaaan itu.

Pemohon tersebut mendakwa keputusan penyahwartaan itu sudah lapuk kerana dibuat 22 tahun lalu. – Mkini



Join our Telegram Channel
Telegram