“Najib diberi rumah dalam kawasan penjara”, ini respon penjara Kajang



KUALA LUMPUR: Jabatan Penjara Malaysia menolak dakwaan yang sedang tular di media sosial, kononnya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, tidak ditempatkan di dalam sel penjara, sebalik ditempatkan dalam sebuah rumah pegawai dalam di Penjara Kajang.

Jabatan itu dalam kenyataan di Facebook, hari ini menafikan perkara itu dan menyatakan bahawa dakwaan yang tersebar itu sebagai palsu dan tidak sahih.

"Maklumat tidak sahih. Hentikan penyebarannya," kata jabatan itu.


Terdahulu, tular di media sosial tangkap layar dipercayai satu perbualan di WhatsApp mendakwa Najib tidak ditempatkan di dalam sel penjara di Penjara Kajang.

Menurut tangkap layar itu yang turut tular di Facebook, Najib didakwa ditempatkan di sebuah rumah pegawai senior Penjara Kajang yang terletak dalam kawasan penjara terbabit.

"Najib tidak berada di dalam sel. Seorang sahabat yang sepupunya adalah seorang pegawai senior penjara di Kajang, maklumkan Najib diberikan sebuah rumah di dalam kawasan penjara.


"Rumah berkenaan adalah untuk pegawai senior penjara," tulis di mesej berkenaan.

Sebelum ini, timbul dakwaan nama Najib tidak dimasukkan dalam pangkalan data Jabatan Penjara Malaysia dan hal itu juga ditularkan di media sosial.

Najib dihukum penjara selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd. – Bharian





Join our Telegram Channel
Telegram