Najib masuk hospital akibat sakit perut – Yana



KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dimasukkan ke hospital ekoran masalah sakit perut berulang yang dialaminya.

Anaknya, Nooryana Najwa berkata, Najib berisiko mengalami ulser perut sekiranya beliau tertekan atau diserang gastrik.

Menurut beliau, kali terakhir bapanya mengalami pendarahan ulser adalah tahun lalu.


“Beliau rasa sangat lemah akibat pendarahan dalaman dan secara senyap-senyap dimasukkan ke hospital selama seminggu,” katanya melalui Instagram Story miliknya, hari ini.

Semalam, media melaporkan pegawai Najib mengesahkan beliau dihantar ke hospital untuk menjalani pemeriksaan perubatan baru-baru ini dan kini berada dalam keadaan stabil.

Nooryana menambah, Najib pernah dimasukkan hospital selama tiga hari pada 2010 bagi merawat pendarahan ulser yang dialaminya.

Beliau tahu bahawa bapanya bukan jenis yang merungut apabila berasa tidak sihat kerana tidak mahu menyusahkan orang lain walaupun boleh menjejaskan kesejahteraannya sendiri.


“Apabila simptomnya mula dikesan, kebiasaannya sudah terlambat. Dalam dua insiden sebelum ini, kami lambat mengesannya dan menyebabkan intervensi perubatan yang serius termasuk transfusi darah dilakukan,” jelasnya.

Nooryana berkata, keluarganya berharap agar Najib mendapat pemeriksaan dan rawatan secara konsisten daripada pihak penjara dan hospital.

“Tolong jaga Daddy kami dan Bossku. Dia segala-galanya untuk kami. Semoga Allah merahmati kita semua,” katanya. – MG





Join our Telegram Channel
Telegram