PETALING JAYA: Seorang lelaki Malaysia yang sebelum ini bebas daripada tuduhan
rogol, dihukum penjara 13 tahun dan 12 sebatan selepas rayuan pendakwaan
terhadap kesnya dibenarkan Mahkamah Rayuan Singapura.
Straits Times melaporkan, Hakim Judith Prakash, Tay Yong Kwang dan Woo Bih Li
akan mengeluarkan penghakiman bertulis pada tarikh lain.
Lelaki berusia 45 tahun itu didakwa merogol mangsa yang juga rakyat Malaysia
berusia 29 tahun, di sebuah rumah sewa pada 6 Ogos 2017 malah turut mencekik
wanita itu.
Tertuduh telah dibebaskan daripada tuduhan itu pada Jun 2020 selepas Mahkamah
Tinggi mendapati pendakwaan gagal membuktikan keraguan munasabah.
Lelaki itu sebelum ini mendakwa hubungan seks dengan mangsa atas dasar suka
sama suka, selain menafikan telah mencekik wanita itu sebaliknya mengatakan
hanya membuat “love bite” pada lehernya.
Kedua-duanya adalah warga Malaysia yang bekerja di Singapura dan menjalin
hubungan pada 2012 sebelum memilih untuk menyewa sebuah rumah pangsa bersama.
Hubungan mereka bagaimanapun mula keruh pada 2017 selepas lelaki itu
kehilangan kerja, menyebabkan mereka memutuskan hubungan. Bagaimanapun, lelaki
terbabit tetap menginap di rumah itu setiap kali datang ke Singapura untuk
mencari kerja.
Sementara itu dalam keterangannya sebelum ini, mangsa berkata telah mengelak
berhubung dengan mangsa, malah tinggal di rumah ibu saudaranya pada 4 dan 5
Ogos iaitu sebelum kejadian.
Apabila dia kembali ke situ pada 6 Ogos, tertuduh berulang kali mempertikai
keputusannya menamatkan perjanjian sewa di rumah itu mulai September tahun
sama. Tertuduh kemudian merogol dan cuba mencekiknya.
Lelaki terbabit kemudian membawanya ke klinik berhampiran dan mangsa
memaklumkan doktor dia telah dirogol, menyebabkan kakitangan klinik
menghubungi polis.
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel