Saya berserah kepada Allah SWT – Rosmah



KUALA LUMPUR – Datin Rosmah Mansor yang hampir menangis selepas disabitkan salah ke atasnya tiga pertuduhan rasuah, merayu supaya Mahkamah Tinggi mempertimbangkan terlebih dahulu jasa dan sumbanganya sebelum menjatuhkan hukuman.

Rosmah yang juga isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak seperti hilang kata-kata ketika memberikan kenyataan kepada mahkamah sebelum hukuman dijatuhkan kepadanya.

“Yang Arif, saya tidak menyangka akan berdepan dengan situasi sukar seperti ini. Saya menerima sepenuhnya keputusan yang telah ditetapkan oleh Yang Arif dan tidak akan mempertikaikan apa-apa kecuali memohon supaya mahkamah tidak lupa dengan sumbangan, jasa saya ketika bergelar ‘first lady’.


“Bukan saya hendak bercakap besar pada masa ini tetapi ingatlah saya juga telah memperjuangkan pelbagai isu berkaitan dengan kanak-kanak dan remaja seperti Permata Negara dan Permata Kurnia selama saya bergelar isteri kepada Perdana Menteri negara ini.

“Saya rasa cukup gembira untuk menyumbang, saya sakit hati melihat penderitaan kanak-kanak kecil di luar sana, saya juga sedaya upaya memartabatkan wanita di negara ini. Tidak pernah dalam mimpi sekalipun saya terfikir untuk mencuri mahupun menyeweleng dana dari mana-mana.

“Saya juga pernah menerajui BAKTI yang mana dananya lebih RM45 juta, sedikit pun saya tidak usik. Mengapa perlu saya berbuat demikian? Seleweng dana kebajikan? Jauh sekali menyeleweng dana kanak-kanak kecil projek solar sekolah pedalaman.

“Sebenarnya saya sendiri tidak tahu apa-apa tentang projek itu mahupun kos projek itu apatah lagi mengenali Jepak Holdings. Tidak ada bukti yang mengatakan saya ambil duit itu, saya tidak kenal mereka malah sekali menasihatkan bekas pegawai saya, Rizal Mansor untuk berhati-hati. Ada cerita tentang RM5 juta? Saya tidak tahu apa-apa.


“Kini saya serahkan kepada Allah SWT untuk menentukan kebenaran-kebenaran ini,” katanya dalam nada sebak sambil meminta Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan mempertimbangkan rayuannya dalam  menentukan hukuman yang akan dikenakan kepadanya.

Menurut Rosmah lagi: “Saya bercakap benar Yang Arif. Saya juga tidak dibenarkan oleh suami saya ketika menjadi Perdana Menteri untuk membuka mulut saya, bercakap apa-apa. Tidak ada sesiapapun nampak saya ambil duit-duit yang didakwa atas saya.

“Anda telah lakukan kepada suami saya, kini saya. Suami saya juga dijatuhkan hukuman berat, kini saya juga menjadi mangsa. Keluarga saya terpaksa melalui fasa sukar ini,tolonglah,” ujarnya.

Proses mitigasi sedang berlangsung di hadapan hakim oleh pembelaan dan pendakwaan ketika ini. – MG



Join our Telegram Channel
Telegram