Tawaran berlakon ditarik, nama Puteri Balqis digugurkan berikutan pendedahan berani dicabul bapa



Kuala Lumpur: Nama pelakon remaja sensasi, Puteri Balqis Azizi atau Aqish, 15, digugurkan daripada membintangi drama untuk sebuah stesen televisyen swasta berikutan pendedahan berani yang dibuatnya, baru-baru ini.

Ibu pelakon itu, Norashikin Mohd Aziz berkata akibat isu yang tular dan hangat berkenaan, anak tunggalnya terpaksa akur kehilangan tawaran kerja untuk penggambaran drama 14 episod.

"Sedih nak beritahu, tawaran kerja untuk drama 14 episod bagi tayangan di sebuah stesen televisyen swasta ditarik balik dan nama Aqish digugurkan.


"Biasalah, kes tengah viral (tular) dan apa yang saya bimbang adalah masa depan kerjaya seni Aqish selepas ini. Selain itu, risau juga dengan jualan bukunya yang agak perlahan," katanya.

Menurut Norashikin, sumber pendapatan untuk menyara hidup mereka dua beranak adalah berdasarkan tawaran lakonan diterima Puteri Balqis dan hasil jualan buku, 38 Poems of Puteri Balqis.

"Walaupun hati ini bimbang memikirkan nasib kami dan kerjaya seni Aqish, tapi saya sentiasa percaya pada rezeki yang diaturkan oleh Allah untuk kami dua beranak.

"Saya cuma risau saja. Tapi, Alhamdulillah kami masih lagi dikelilingi oleh orang-orang yang baik dan amat membantu. Syukur sangat, sebab itu sudah memadai untuk saya terus kuat dengan dugaan ini," katanya.


Terdahulu, Puteri Balqis secara terbuka dan berani membuat pendedahan mendakwa dia dan ibunya pernah menjadi mangsa perbuatan buruk bapanya di dalam satu program di saluran YouTube.

Menafikan dakwaan itu, bapa Puteri Balqis difahamkan sudah membuat laporan polis di Balai Polis Bandar Baharu, Kedah.

Selain itu, Puteri Balqis juga difahamkan sudah membuat laporan polis berhubung dakwaannya di Balai Polis Sri Damansara, Petaling Jaya, Selangor pada Isnin lalu. – Hmetro





Join our Telegram Channel
Telegram