Anak perempuan Najib Razak, Nooryana Najwa menyoal mengapa ketua pembangkang ketika dipenjarakan Anwar Ibrahim boleh berkempen untuk isterinya pada pilihan raya kecil Permatang Pauh pada 2015.
Kata Nooryana, sedangkan bapanya pula dilarang mengeluarkan sebarang kenyataan dari penjara berhubung pilihan raya umum (PRU15) akan datang.
"Kenapa Anwar boleh tapi Najib tak boleh," katanya pada hantaran di Instagram semalam.
Dia juga memuat naik petikan berita mengenai Anwar, yang mesejnya disampaikan melalui peguamnya Latheefa Koya agar rakyat mengundi PKR dan calonnya ketika itu Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Pada 2015, Anwar dijatuhkan hukuman penjara lima tahun atas tuduhan liwat.
Petikan berita kedua yang disiarkan Nooryana memaparkan kenyataan Pengarah Kanan Bahagian Dasar Kepenjaraan Jabatan Penjara Supri Hashim.
Supri berkata banduan yang sedang menjalani hukuman di penjara tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan untuk tujuan berkempen sempena PRU15.
Jelasnya, larangan itu turut termasuk bekas perdana menteri Najib Razak.
Menurut Supri, sebarang surat yang mahu dihantar kepada keluarga, dokumen atau apa jua urusan, akan ditapis terlebih dahulu oleh pihak Jabatan Penjara.
"Jabatan Penjara tiada kena mengena dengan politik dan kami hanya laksanakan tanggungjawab waima apa pun kerajaan yang memerintah,” katanya, lapor Bernama.
ARTIKEL BERKAITAN:
- Banduan tak boleh keluar kenyataan berkaitan kempen #PRU15 termasuk Najib
- 'Anwar boleh kempen dari penjara tapi Najib tak boleh?'
Join our Telegram Channel