IPOH: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anwar Ibrahim akan bertanding di kerusi
Parlimen Tambun pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Ads by
Anwar ketika mengumumkan dirinya akan bertanding di kerusi itu berkata, beliau
tidak memilih kawasan yang mudah dimenangi untuk bertanding.
“Saya tak memilih kawasan yang mudah, yang jamin majoriti besar. Saya ketuai,
saya mengepalai dan berani tawan (Parlimen) Tambun dalam pilihan raya akan
datang.
“Saya mahu rakan di Perak, Kedah, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor melihat
keyakinan kita.
“Saya bukan tawan kerusi mudah, saya katakan saya mahu Perak bersama diangkat
martabatnya, Perak jadi barisan harapan perjuangan,” katanya ketika berucap
pada Konvensyen PH di Pusat Konvensyen Ipoh.
Dalam majlis sama, Ketua Setiausaha Sekretariat PH, Saifuddin Nasution
mengumumkan Anwar dipilih sebagai calon perdana menteri gabungan itu, jika ia
memenangi PRU15.
Terdahulu, Ketua DAP Perak yang juga Pengarah Konvensyen PH, Nga Kor Ming
berkata, Perak banyak melahirkan pemimpin tersohor, namun tidak pernah ada
perdana menteri datang dari negeri itu.
“Perak pernah melahirkan pemimpin tersohor, tetapi ada kurang, tak pernah ada
PM dari Perak, inilah peluang keemasan kita,” katanya ketika berucap pada
konvensyen itu.
Anwar meninggalkan kerusi Parlimen Port Dickson yang dimenanginya dengan
majoriti 23,560 undi, selepas menewaskan enam pencabarnya daripada PAS dan
bebas pada pilihan raya kecil Oktober 2018.
Kerusi Parlimen Tambun kini disandang Menteri Belia dan Sukan, Ahmad Faizal
Azumu, yang juga timbalan presiden Bersatu. Beliau memenangi kerusi itu dengan
majoriti 5,320 undi pada PRU14, menewaskan calon Barisan Nasional, Ahmad Husni
Hanadzlah dan calon PAS, Ibrahim Zakaria.
Sebelum ini, Faizal mengalu-alukan cadangan untuk Anwar bertanding di Tambun
pada PRU15 dengan berkata, beliau tidak tergugat dengan mana-mana lawannya
kerana ia proses yang perlu dilalui ahli politik dalam mendukung amalan
demokrasi.
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel