Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad sekali lagi menghulurkan tangan
pendamaian dengan Anwar Ibrahim, menjelang pilihan raya umum bulan depan.
Kata Mahathir, jika perlu memulakan langkah itu, dia akan melakukannya demi
mengelakkan kerosakan pada negara.
“Saya bersedia bertemu dengan Datuk Seri Anwar kerana saya percaya dia juga
berfikir semacam dengan saya.
“Jika saya yang perlu memulakan langkah, saya akan lakukan,” katanya.
Penyandang kerusi parlimen Langkawi itu juga berkata, dia tidak kisah jika
dengan tindakan itu akan ada pihdak menganggap dia menjilat semula ludah
sendiri.
Menjelaskan cadangannya itu Mahathir berkata, apa yang penting dicapai oleh
kedua-dua pihak adalah menyekat parti lain daripada merosakkan negara.
"Kejatuhan Najib Razak menunjukkan kita boleh boleh bekerjasama," katanya
dalam pesanan video yang dimuat naik di media sosial hari ini.
Sejarah hubungan presiden PRK dan pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang)
itu memang panjang dan mengalami naik turun yang ketara.
Pada 1998 perseteruan kedua-dua mereka mencapai kemuncak apabila Anwar dipecat
daripada kerajaan serta parti dan membawa kepada pendakwaan ke atasnya di
mahkamah.
Perlu satu lagi pertemuan
Di sebalik kekeruhan berkenaan, Anwar dan Mahathir berdamai ketika parti
pembangkang bersedia menghadapi pilihan raya umum ke-14.
Pada Sept 2016 - atau hampir 20 tahun - Mahathir menemui Anwar di Mahkamah
Tinggi Kuala Lumpur dan detik bersejarah itu kemudian berlanjutan kepada
pembentukan kerjasama Pakatan Harapan (PH) dengan Bersatu.
Kejatuhan kerajaan PH melalui pembelotan Bersatu serta sekumpulan ahli
parlimen PKR kembali mengeruhkan hubungan kedua-dua mereka dengan kebanyakan
penyokong Anwar meletakkan kesalahan kepada Mahathir.
Mahathir dan penyokongnya pula menuding kepada Anwar atas kejatuhan kerajaan
PH.
Ketika ini, kata Mahathir, keadaan semasa politik memerlukan satu lagi
pertemuan dengan Anwar.
Anwar yang juga pengerusi PH sebelum ini membayangkan masih ada ruang untuk PH
bekerjasama dengan Mahathir dan Bersatu melalui syarat tertentu.
Namun PAS - yang menjadi parti komponen Perikatan Nasional - menolak
sekeras-kerasnya kerjasama dengan PH.
ARTIKEL BERKAITAN:
- Dr M mahu berdamai dengan Anwar kali ke-2, tak kisah dikata 'jilat ludah'
- Sekadar ‘catur peribadi’, Anwar tolak bincang dengan Dr M
Join our Telegram Channel