Kanak-kanak maut terjatuh dari kerusi bayi di restoran



Johor Bahru: Kanak-kanak lelaki berusia dua tahun meninggal dunia selepas terjatuh dari kerusi bayi (baby chair) di sebuah restoran dekat Taman Sutera di sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, kanak-kanak itu dikatakan sedang makan bersama keluarganya di restoran sebelum terjatuh menyebabkan kepalanya terhentak di lantai.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintendan Fariz Ammar Abdullah berkata, siasatan awal mendapati, ketika makan, kanak-kanak itu menolak meja menggunakan kakinya menyebabkan kerusi bayi yang didudukinya terjatuh.


"Ibu bapa kanak-kanak itu membawanya ke restoran kira-kira jam 2 petang dan meletakkan anak mereka di dalam kerusi bayi.

"Ketika sedang makan, kanak-kanak berkenaan bertindak luar kawalan dengan menolak meja menggunakan kakinya hingga menyebabkan kerusi bayi terjatuh dan kepalanya terhentak di lantai.

"Dia kemudian menangis dengan kuat sebelum pengsan," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Beliau berkata, kejadian itu turut disaksikan pekerja restoran terbabit sebelum bapa kanak-kanak itu bergegas membawanya ke klinik swasta, namun dinasihatkan doktor untuk dihantar terus ke hospital berikutan keadaannya yang dilihat serius.


"Bapa kanak-kanak itu kemudian membawanya ke sebuah hospital swasta di Iskandar Puteri sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang bertugas," katanya.

Beliau berkata, mayat kanak-kanak itu kemudian dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, untuk bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian.

Katanya, sehingga kini tiada sebarang unsur jenayah ditemui dalam kejadian itu, bagaimanapun siasatan lanjut masih diteruskan.

"Kertas siasatan dibuka atas laporan mati mengejut (SDR)," katanya. – Hmetro
Join our Telegram Channel
Telegram