Lelaki dijel 5 tahun ganggu isteri orang guna WhatsApp



RIYADH – Mahkamah jenayah Al-Ahsa di Wilayah Timur Arab Saudi  menjatuhkan hukuman penjara selama lima tahun terhadap seorang lelaki selepas dia didapati bersalah melakukan gangguan seksual terhadap wanita yang sudah berkahwin, lapor akhbar Saudi Gazette kelmarin.

Mahkamah sama memutuskan untuk menutup akaun WhatsApp tertuduh dan merampas telefon bimbitnya kerana disalah guna untuk melakukan jenayah.

Pihak pendakwa raya mengemukakan pertuduhan terhadap defendan berikutan petisyen yang difailkan oleh suami mangsa.

Tertuduh itu didakwa cuba memikat wanita itu dengan menghantar mesej menerusi aplikasi WhatsApp dengan konotasi seksual dan tidak senonoh, serta mengajaknya me­lakukan hubungan seks.


Pihak pendakwa raya menyatakan bahawa tertuduh  memperoleh nombor telefon wanita itu semasa menjalankan tugas rasmi.

Mahkamah sama mendapati tertuduh mengaku telah menghantar mesej kepada isteri pempetisyen, dan mengakui nombor telefon bimbit yang digunakan dalam jenayah itu adalah miliknya.

Lelaki itu juga mengaku berkomunikasi dengan wanita itu dengan konotasi seksual yang jelas dan menjemputnya untuk melakukan persetubuhan.

Mahkamah berkenaan menjatuhkan hukuman penjara tersebut berdasarkan undang-undang Anti Jenayah Siber Arab Saudi. – Agensi

 

Join our Telegram Channel
Telegram