Liwat 3 rakan sel, banduan dipenjara 23 tahun



PETALING JAYA: Seorang banduan dihukum penjara 23 tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu kerana meliwat tiga rakan selnya.

Hakim Nooriah Osman membuat keputusan itu selepas tertuduh, Mohd Shahrul Ruzaimy Maznan, 29, mengaku salah terhadap empat pertuduhan mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan, lapor Harian Metro.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap mangsa berusia 24 tahun di dalam sel Penjara Marang, Marang jam 1.30 pagi pada 5 Julai lalu.


Dia turut mengulangi kesalahan sama terhadap mangsa di lokasi sama jam 3.30 pagi pada 8 Julai lalu.

Selain itu, Shahrul melakukan kesalahan sama terhadap dua lagi mangsa berusia 28 dan 24 tahun di lokasi sama pada 29 Jun dan 4 Julai lalu.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, dia dihukum penjara 10 tahun dan dua sebatan, manakala bagi dua lagi tuduhan, dia dipenjara masing-masing enam dan tujuh tahun serta satu sebatan.


Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan hukumannya berjalan serentak mulai hari ini. Ini bererti tertuduh hanya akan menjalani hukuman penjara 10 tahun dan empat sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Alif Farhan Hassan.

Ketika ini, tertuduh sedang menjalani hukuman penjara mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan, iaitu menyebabkan kematian tanpa niat bunuh. – FMT




Join our Telegram Channel
Telegram