PETALING JAYA: Pengerusi DAP Lim Guan Eng berjanji tol di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) akan dimansuhkan jika Pakatan Harapan (PH) memenangi pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dan membentuk kerajaan persekutuan seterusnya.
Pada majlis makan malam kempen sebelum PRU15 di Jelapang, Perak, semalam, Lim berkata, PH telah mengurangkan bayaran tol untuk lebuh raya itu sebanyak 18% semasa ia memerintah selama 22 bulan.
Menurut China Press, bekas menteri kewangan itu berkata, PH “boleh memansuhkan tol” di lebuh raya jika ia mendapat masa lima tahun lagi menjadi kerajaan.
Lim sebelum ini dipetik berjanji perkara yang sama pada 2017, sebelum kemenangan bersejarah PH pada 9 Mei 2018. Bagaimanapun, kerajaan PH digulingkan selepas hanya 22 bulan memerintah.
Pemansuhan tol di lebuh raya adalah antara janji gabungan itu untuk PRU 2018, dengan PH berkata, ia akan dilakukan “secara berperingkat”.
Pada 2020, kerajaan PH ketika itu melaksanakan pengurangan tol sebanyak 18% di lebuh raya itu, menyatakan ia selaras dengan manifestonya.
Lim turut menyebut pelbagai masalah yang melanda negara ketika ini, seperti kegawatan ekonomi dan skandal kapal tempur pesisir (LCS). Malaysia memerlukan kerajaan yang mampu menguruskan isu-isu ini, katanya.
ARTIKEL BERKAITAN:
- Anwar lari tanding di Tambun, tetap jadi calon PM PH
- #PRU15: Anwar janji kurangkan gaji, elaun PM
- Khalid Samad lari dari Shah Alam tanding Titiwangsa
- Shamsul Iskandar lari dari Melaka ke Bagan Datuk
- Wan Azizah lari tanding di Bandar Tun Razak
- #PRU15: Gobind sah lari ke Damansara
- Rayer kekal, Adik Guan Eng calon muka baharu
Join our Telegram Channel