Alor Setar: Kerajaan negeri kesal dengan penganjuran konsert hiburan di
dataran berhadapan Masjid Zahir, di sini yang sekali gus menjejaskan nama baik
Kedah di bawah pimpinan PAS.
Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia negeri, Datuk
Najmi Ahmad berkata, meskipun aktiviti itu mendapat kebenaran pihak berkaitan,
aktiviti hiburan yang menutup program, semalam dilihat kurang sopan.
"Program bermula pagi dengan aktiviti yang disusun oleh penganjur ketika itu
semua nampak okay... ada jualan dan sebagainya, tapi di penghujung program ada
konsert pula.
"Pengisian yang macam itu amat-amat tidak wajar dan mencemarkan nama baik
kita. (Negeri) kita tercalar dengan acara begini.
"Konsert (hiburan) tidak layak dibuat di dataran itu kerana ia di depan masjid
dan belakangnya pula adalah pejabat Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah
(JHEAIK). Saya merakamkan kekesalan dengan apa yang berlaku," katanya ketika
dihubungi di sini, hari ini.
Terdahulu, video mengenai acara itu tular di media sosial, memaparkan aksi
penonton melompat dan menari ketika persembahan muzik dianjurkan.
Acara itu mengundang rasa kurang senang orang ramai, khususnya penduduk
beragama Islam memandangkan ia diadakan tidak jauh dari Masjid Zahir.
Najmi mengingatkan pihak berkuasa supaya lebih berhati-hati dalam memberi
kelulusan terhadap sebarang acara dan memantau program yang dianjurkan.
"Dataran itu sepatutnya dianjurkan dengan program bermanfaat dan pengisian
yang baik dan bersesuaian, bukan dengan persembahan muzik atau konsert,"
tegasnya yang turut meminta JHEAIK menyiasat penganjuran acara itu.
Sementara itu, Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Zaid Ahmad berkata, Majlis
Bandaraya Alor Setar (MBAS) tidak mengeluarkan lesen untuk penganjuran konsert
itu, malah lesen hiburan terletak di bawah bidang kuasa Pejabat Daerah Kota
Setar.
ARTIKEL BERKAITAN:
- Menari, melompat konsert depan Masjid Zahir, kerajaan PAS Kedah dipersoal
- Anak muda Kedah terkinja-kinja kerana pengaruh iblis – Sanusi
Join our Telegram Channel