Netizen teruja lihat bulan biru di FB Nik Abduh



PETALING JAYA – Tindakan penyandang kerusi Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menukar gambar profilnya kepada gambar bumi berwarna biru mencetus pelbagai spekulasi dalam kalangan pengikutnya.

Gambar tersebut juga diambil pada bahagian lautan bumi yang berkemungkinan apa yang dimaksudkan adalah ‘ke laut’.

Ini kerana ada desas-desus mengatakan Ahli Parlimen Pas itu kini tidak sehaluan dengan pimpinan parti tersebut lebih-lebih lagi menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).


Tinjauan Kosmo! di laman Facebook anak kepada Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu juga mendapati banyak hantaran memperlihatkan beliau tidak bersetuju dengan tindakan dibuat pimpinan tertinggi Pas yang memutuskan hubungan Muafakat Nasional dengan UMNO sebelum ini.

Menjengah ke ruangan komen pula, rata-rata netizen mempunyai pendapat masing-masing mengenai status terbaharu yang dimuat naik Nik Abduh tersebut.

Ada kalangan pengikutnya yang mendakwa beliau kini bersama Barisan Nasional seperti komen yang ditinggalkan Mamat MH.

“Alhamdulillah, bulan sudah bertukar warna kepada biru. Tahniah ustaz,” tulisnya.


“Rasanya gandingan Ustaz Nik dan Dr Khairudin Al khatiri lebih terserlah untuk masa depan ummah,” Kata Tuan Yahya Tuan Lah.

Selain itu, ada juga pengguna laman Facebook mengaitkan hantaran itu dengan mendakwa Ahli Parlimen Bachok itu tidak terpilih sebagai calon pada PRU15 kali ini.

“Legasi Allahyarham Ayahanda Tuan Guru Nik Aziz semakin dilupakan, begitu mudah pemimpin sekarang buat keputusan. Semoga teruskan perjuangan demi maruah, “tulis Mohamad Zaidan Abdul Rahim.

“Tak ada kawasan pun masih boleh berbakti, dunia ini luas bukan untuk politik sahaja,”ujar Mohamad Zaini. – Kosmo



Join our Telegram Channel
Telegram