KANGAR: Akar umbi UMNO Bahagian Arau mendesak agar kepimpinan tertinggi parti
mengekalkan Datuk Seri Shahidan Kassim sebagai calon Parlimen Arau dalam
Pilihan Raya Umum Ke 15 (PRU15).
Rata-rata mereka memberi peringatan akan memastikan calon UMNO atau Barisan
Nasional (Bn) tewas di kerusi berkenaan sekiranya nama Shahidan digugurkan
pada kali ini.
Ahli Jawatankuasa (AJK) UMNO Bahagian Arau, Abdul Karim Sulaiman berkata,
semua ahli parti itu di peringkat bahagian masih menagih khidmat Shahidan
sebagai calon untuk memimpin parti itu di kawasan berkenaan.
“Kami tetap sokong Shahidan dan sekiranya ada calon lain dihantar ke sini,
kami akan pastikan Arau kalah,” katanya.
Menjelang pengumuman calon Barisan Nasional (BN) spekulasi bertiup kencang
nama Shahidan dikatakan gugur sebagai calon bagi Parlimen Arau dalam PRU15.
Selain Shahidan, seorang lagi pemimpin ‘otai’ Datuk Zahidi Zainul Abidin juga
dikatakan tidak terpilih mempertahankan kerusi Parlimen Padang Besar dalam
pilihan raya kali ini.
Sementara itu, seorang lagi AJK UMNO Bahagian Arau, Hakimi Din berkata, hanya
Shahidan layak bertanding di kerusi Parlimen Arau dan beliau diyakini dapat
memberi kemenangan dalam PRU15.
“Kalau bukan Shahidan yang bertanding, kami tak mahu beri kerjasama untuk
pastikan Arau menang,” katanya.
Selain itu, AJK UMNO Bahagian Arau, Razali Che Man pula mempersoalkan mengapa
calon lain yang dihantar bertanding di Parlimen itu sedangkan Shahidan
merupakan pemimpin yang dapat membawa kemenangan buat parti.
“Sebab apa yang hantar calon lain lawan kat Arau, Shahidan calon yang boleh
menang,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN:
- #PRU15: Shahidan kekal, Zahidi, Annuar Musa digugurkan?
- Penyokong ugut kalahkan Arau jika Shahidan tak dicalonkan
- Shahidan tutup bilik gerakan Arau, Annuar kata nama kena 'pancung'
- Annuar akui tak dijemput ke majlis umum calon BN
- Kalau tak dicalonkan, pilihan banyak, PAS, Bersatu pun parti kerajaan – Annuar Musa
- #PRU15: Tular senarai nama calon BN Perlis
Join our Telegram Channel