Umno telah membuat keputusan agar parlimen dibubarkan dalam masa terdekat bagi
membolehkan Piihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan pada tahun ini, kata
setiausaha agungnya, Ahmad Maslan.
Ahmad Maslan berkata keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Majlis Kerja
Tertinggi (MKT) yang diadakan di ibu pejabat Umno, Kuala Lumpur malam ini.
Justeru katanya, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob akan mempersembahkan
cadangan tarikh pembubaran parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong selaras
dengan Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan.
"Keputusan mesyuarat ini adalah berasaskan pendirian konsisten Umno sejak dari
awal untuk memulangkan mandat rakyat yang tertangguh akibat pandemik Covid-19
setelah runtuhnya kerajaan Pakatan Harapan kerana persengketan dalaman politik
sesama mereka," katanya dalam sidang media sebentar tadi.
Sehubungan itu, katanya, semua jentera parti di setiap peringkat diarahkan
memuktamadkan segala persiapan yang telah dibuat sebelum ini bagi memasuki
fasa pembubaran parlimen sehinggalah tarikh PRU15.
“Umno percaya hanya dengan mengembalikan hak rakyat bagi membolehkan mandat
sebenar diperolehi, maka sebuah kerajaan yang stabil dapat dibentuk bagi
memulihkan negara khususnya dalam aspek ekonomi yang berkait rapat dengan soal
kesejahteraan hidup mereka, di samping beberapa usaha pembaharuan institusi ke
arah mewujudkan tadbir urus yang lebih baik buat negara,” katanya.
‘Dedah laporan siasatan buku Thomas’
Sementara itu, Ahmad Maslan berkata MT Umno menyambut baik keputusan kabinet
yang mengarahkan siasatan lanjut dan tindakan segera diambil bagi menyiasat
dakwaan salah laku membabitkan bekas Peguam Negara Tommy Thomas.
"Mesyuarat juga menggesa agar Laporan Pasukan Petugas Khas Siasatan Ke Atas
Buku Tommy Thomas bertajuk “My Story: Justice In the Wilderness” untuk
segera didedahkan kepada umum.
"Ini penting bagi memulihkan imej dan integriti institusi kehakiman serta
kedaulatan undang-undang negara, seperti contoh yang terdapat di dalam muka
surat 342 buku tersebut yang berkemungkinan melanggar Seksyen 32 Akta
Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009," katanya.
Disember tahun lalu, kerajaan menubuhkan pasukan petugas itu untuk menyiasat
buku berkenaan yang antara lain menyentuh mengenai isu pelantikan hakim,
campur tangan eksekutif dalam badan kehakiman dan pendakwaan terpilih.
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel