#PRU15: Annuar teringin bertanding buat kali ke-9



PUTRAJAYA – Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa mengakui teringin untuk menjadi calon dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) namun memaklumkan ia terserah kepada keputusan parti.

Menurutnya, jika seorang individu yang menyertai politik, sukar untuk meninggalkan bidang berkenaan.

“Sebagai seorang ahli politik yang menyertai lapan kali pilihan raya, iaitu tiga kali tewas serta lima kali menang, saya masih teguh berdiri dan masih lagi teringin menjadi calon.


“Kalau masuk politik ni, nak keluarnya payah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Kira Detik Malam Kemuncak Anugerah Seri Angkasa 2022 di sini, hari ini.

Katanya, kedudukan calon itu hanya akan ditentukan oleh ‘Top 5’ (pimpinan tertinggi) dalam UMNO.

Annuar berkata, jika seseorang itu ada keinginan untuk berkhidmat untuk rakyat maka, individu itu mesti mempunyai keinginan untuk menjadi calon.

“Bagaimanapun, sama ada menjadi calon untuk mewakili mana-mana parti, (seharusnya) partilah yang menentukan. Bukannya kita (calon),”katanya.


Dalam pada itu, Annuar berkata, beliau yakin rakyat di Ketereh akan terus mengundi UMNO dan Barisan Nasional (BN) kerana mereka sudah cukup bijak untuk memilih siapa wakil rakyat mereka.

“Pengundi Ketereh cukup bijak dan saya percaya kali ini juga sama juga, cuma sesiapa menjadi calon nanti hendaklah berikrar untuk melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat,”katanya.

Ujar beliau, akar umbi UMNO dan BN di Ketereh sudah digerakkan sejak sekian lama malah mereka sudah diterapkan dengan rangka kerja dan prosedur operasi standard (SOP) yang terbaik. – Kosmo

 

Join our Telegram Channel
Telegram