#PRU15: Shahidan kekal, Zahidi, Annuar Musa digugurkan?



Arau: Tumpuan masyarakat di Perlis kini terarah kepada dua Parlimen yang banyak mewarnai landskap politik negeri selama ini dengan menjadi 'lubuk' kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam beberapa Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu iaitu Parlimen Arau dan Parlimen Padang Besar.

Ini disebabkan terdapat desas-desus mengatakan kedua-dua penyandangnya, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Zahidi Zainul Abidin berkemungkinan tidak dapat mempertahankan kerusi Parlimen masing-masing kerana digugurkan daripada menjadi calon untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kali ini.

Sumber parti berkata, berdasarkan maklumat yang diterima terdapat kemungkinan hanya Zahidi saja yang digugurkan sebaliknya Shahidan kekal untuk mempertahankan Parlimen Arau.

Namun begitu, peluangnya Shahidan terus kekal di Parlimen Arau dilihat antara 50-50 apabila terdapat kemungkinan beliau juga digugurkan bagi memberi peluang kepada calon muda.


"Kerusi Parlimen Arau akan digantikan calon muda dari Umno kerana pembangkang dari Pakatan Harapan (PH) juga menampilkan calon muda di situ manakala Parlimen Padang Besar pula dikatakan akan dipilih dalam kalangan calon wanita dari Umno Bahagian Padang Besar.

"Bagaimanapun ini hanyalah spekulasi semata-mata kerana segala keputusan terserah kepada pimpinan parti di bahagian pusat yang dijangka akan mengumumkannya sama ada hari ini atau esok," katanya.

Shahidan begitu sinonim dengan Parlimen Arau apabila menerajui kawasan itu sebagai Ahli Parlimen selama empat penggal bermula PRU 1986, 1990, 2013 dan 2018 selain pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tambun Tulang pada 1995, 1999, 2004 dan 2008 ketika penggal di mana beliau menjadi Menteri Besar Perlis.

Manakala, Zahidi pula memulakan perjalanan sebagai Ahli Parlimen Padang Besar hanya pada PRU 2013 sebelum meneruskan kemenangan pada PRU 2018 dan sebelum itu pula, beliau pernah menjawat sebagai Adun Beseri pada 1999 dan 2004. – Hmetro 


Kota Bharu: Berbaki lima hari sebelum penamaan calon, Umno Ketereh dikejutkan dengan khabar angin yang mengatakan penyandang Parlimen berkenaan, Tan Sri Annuar Musa tidak dicalonkan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ada yang mengatakan Ketua Pergerakan Puteri Umno Kelantan, Marzuani Ardila Ariffin diletakkan sebagai calon di kerusi berkenaan.

Ramai beranggapan sekiranya perkara itu benar, ia ada kaitan dengan kelantangan Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia mengkritik kepimpinan Umno sebelum ini.

Sumber Umno Ketereh memaklumkan, sejak pagi tadi maklumat mula tular mengatakan Ketua Bahagian Umno Ketereh itu tidak dicalonkan pada PRU-15.


"Apa yang pasti Umno Ketereh sebelum ini hanya mencalonkan satu nama saja sebagai calon Parlimen Ketereh iaitu Annuar Musa, bukannya lima nama sebagaimana yang dibuat oleh bahagian lain.

"Malah, tiada rundingan semula daripada pucuk pimpinan tertinggi berhubung nama yang dihantar oleh Umno Ketereh sekiranya benar nama yang dicalonkan pihak kami tidak diterima. Saya yakin Tan Sri Annuar akan dicalonkan di Ketereh," katanya ketika dihubungi.

Pada PRU-14, Annuar menang dengan majoriti 4,626 undi menewaskan Wan Ismail Wan Jusoh dari Pas dan Datuk Dr Radzi Jidin dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Annuar sebelum ini menegaskan tidak akan bertanding di tempat lain selain Ketereh yang juga tempat kelahirannya, jika ditawar menjadi calon PRU ini.


Beliau berkata, pendirian itu sudah menjadi prinsipnya sejak dulu lagi dan tidak berpindah walaupun ketika kalah sebelum ini.

Media sebelum ini melaporkan, Umno akan memastikan calon yang dipilih pada PRU-15 adalah pemimpin yang mempunyai disiplin tinggi, tidak 'besar kepala' serta berani mempertahankan parti itu daripada diperlekehkan.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, Top 5 Umno bakal memilih calon yang tidak bersuara sumbang terhadap kepemimpinan mereka sendiri, selain mempunyai sokongan akar umbi kuat tanpa mengira tempat bertanding. – Hmetro





Join our Telegram Channel
Telegram