Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan ketika bertemu Presiden PAS,
Abdul Hadi Awang baru-baru ini, dia telah mengemukakan tiga syarat sekiranya
PAS mahu menjalin semula kerjasama politik dengan parti itu.
Zahid hari ini dipetik Utusan Online berkata tiga syarat itu ialah PAS keluar
daripada Perikatan Nasional (PN), memutuskan hubungan politik dengan Bersatu
dan mengumumkan secara rasmi bahawa mereka ‘mufarakah’ (berpisah) seratus
peratus daripada PN dan Bersatu.
Kata Zahid lagi, jika tiga tuntutan ini dipenuhi maka rundingan kerjasama
dengan PAS boleh dibuat khususnya dalam menghadapi PRU15.
“Selagi PAS tidak penuhi tiga tuntutan itu, kita (Umno) tidak dapat merungkai
apa juga isu dan perkara yang menjadi perbezaan antara kedua-dua parti. Mereka
mengetahuinya (tiga syarat).
“Tiga syarat itu saya maklumkan ketika mengadakan pertemuan dengan presiden
PAS.
“Bukan saya hendak jumpa dia, tetapi dia yang hendak jumpa saya,” kata Zahid.
Mengenai kerjasama dengan PAS, Zahid juga dilaporkan berkata Umno tidak mahu
melihat pisang berbuah dua kali.
“Dulu kita bersangka baik dengan PAS selepas menandatangani piagam (MN)
tersebut yang menyaksikan hasil gabungan itu, kita menang tujuh pilihan raya
kecil. Tetapi selepas itu lain yang terjadi,” katanya seperti dipetik Utusan
Online.
Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan sumber dalaman Umno menjelaskan pertemuan
presiden Umno dan presiden PAS berkenaan hanya berlangsung di sebuah restoran
di Bangi, Selangor.
Kata sumber itu, antara isu yang dibangkitkan Ahmad Zahid ialah tegurannya
terhadap
sikap PAS 'bermain dua kolam'
dalam langkah politik mereka.
Bersatu kini merupakan salah satu musuh utama Umno. Untuk rekod Bersatu
ditubuhkan oleh sekumpulan bekas pemimpin kanan Umno yang keluar dari parti
itu - sama ada atas kemahuan sendiri, digantung keahlian atau dipecat -
menjelang pilihan raya umum (PRU14) lalu.
Pertemuan Abdul Hadi dengan Ahmad Zahid itu menjadi perhatian ramai selepas
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin menyatakan dia akan meminta
penjelasan daripada PAS.
Abdul Hadi kemudian mengadakan pertemuan dengan Muhyiddin pula. Bagaimanapun
menurut Muhyiddin,
presiden PAS memaklumkan tiada sebarang ketetapan atau keputusan dicapai
dalam pertemuannya dengan Ahmad Zahid.
Muhyiddin turut memaklumkan PAS memberi bayangan bahawa mereka akan membuat
keputusan mengenai hala tuju parti terbabit bersama PN dalam masa terdekat.
Ia berlaku ketika wujud pertentangan pendirian di antara Bersatu dan PAS -
walaupun kedua-duanya menjadi parti utama PN - berhubung sikap mereka pada
pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Muhyiddin sudah mengisytiharkan bahawa
musuh utama PN dalam PRU ke-15 ialah BN, namun ia
disanggah secara terbuka dan berkali-kali oleh PAS.
Untuk rekod Umno-BN pula sebelum ini turut menegaskan pendirian mereka untuk
bergerak secara sendirian di sebalik piagam MN yang dimeterai dengan PAS pada
14 Sept 2019. – Mkini
ARTIKEL BERKAITAN:
- #PRU15: Umno kembali runding jika PAS penuhi 3 syarat, kata Zahid
- Pas pertimbang syarat UMNO, tinggalkan Bersatu-PN, keputusan muktamad sebelum hujung minggu ini
- Umno akan anjur perhimpunan raksasa jika PAS keluar PN
- Zahid: PAS bebas guna lambang sendiri jika bersama BN
- Ada isyarat PAS bakal tinggalkan Bersatu-PN kembali kepada BN, kata sumber
Join our Telegram Channel