Zaharin (dua dari kanan) bertemu beberapa pemimpih PH di Parlimen pagi semalam. |
KUALA LUMPUR : Penulis blog, Datuk Zaharin Mohd Yasin, yang dipecat oleh UMNO, akan menyertai pentas ceramah Pakatan Harapan (PH) menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 ini.
Ketika dihubungi hari ini, beliau menjelaskan sudah bersetuju dengan pelawaan pemimpin PH yang menjemputnya untuk menjadi antara penceramah mereka termasuk di sepanjang tempoh berkempen pada PRU kelak.
"Saya akan hadir berceramah di pentas Pakatan Harapan. Mereka menjemput dan saya akan hadir beri ceramah," katanya turut menjelaskan berada di Parlimen pagi tadi antara lain bagi membincangkan mengenai jemputan itu.
Ditanya sama ada sudah membuat keputusan untuk menyertai salah satu parti dalam PH, Zaharin menjelaskan, buat masa ini tidak akan menganggotai mana-mana parti politik.
"Saya tidak akan sertai mana-mana parti politik tetapi sebab saya sudah dipecat dari UMNO, maka saya bebas untuk terima jemputan sesiapa termasuk menyampaikan ceramah di pentas PH," katanya.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan akan memohon menyertai semula UMNO, sebaik Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak lagi menjadi presiden parti itu.
"Saya akan memohon semula untuk menjadi ahli UMNO sebaik Ahmad Zahid tidak lagi menjadi presidennya. Itu keputusan yang saya akan ambil," katanya.
Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO sebelum ini bersetuju memecat aktivis, Zaharin daripada menjadi ahli UMNO berkuat kuasa serta-merta.
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel