Apa yang Shahidan cakap dulu 'termakan' diri sendiri – Azlan



Menteri Besar Perlis Azlan Man menyifatkan penyandang ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim kini termakan dan terperangkap dengan dengan kata-katanya sendiri selepas tidak dicalonkan oleh BN.

"Apa yang dia cakap sekarang makan diri dia, dia terperangkap dengan kata-katanya sendiri. Dia cakap dulu siapa yang tak dipilih menjadi calon kena reda.

"Itu adalah takdir Allah, sekarang ini dia nak melawan takdir? saya rasa dia sendiri melawan arus kata-katanya sendiri. Jadi kita nilai sendirilah.

"Dia nak berjuang kerana Umno, rakyat atau diri sendiri. Saya lebih melihat dia hanya mementingkan diri sendiri sahaja," katanya pada sidang media selepas program sarapan pagi bersama MB Perlis di Kangar, hari ini.


Azlan berkata demikian kita ditanya berhubung tindakan Shahidan yang melompat mewakili PN untuk mempertahankan kerusi Parlimen Arau selepas tidak dicalonkan BN.

Sebelum ini tular di media sosial satu petikan berita Malaysiakini yang melaporkan kenyataan Shahidan yang menasihati orang Umno supaya reda jika tidak terpilih sebagai calon.

Kenyataan itu dilaporkan sebelum PRU ke-14 lalu sekali gus memperlihatkan kenyataan menteri Wilayah Persekutuan itu bertentangan dengan nasihatnya sebelum ini. 

Semalam Malaysiakini juga melaporkan Shahidan nekad memastikan Azlan gagal untuk mempertahankan kerusi DUN Bintong pada pilihan raya umum kali ini. 

Sementara itu Azlan berkata kini terbukti Shahidan seorang yang pentingkan diri sendiri sebaliknya bukan mengutamakan parti yang menyokongnya sepanjang menjadi wakil rakyat selama lapan penggal.


Katanya Shahidan boleh berkata apa sahaja dan sesuatu yang normal seseorang calon mahu kalahkan calon parti lawan.

"Kalau dia kata sasarkan supaya DUN Bintong ini jatuh kerana alasan-alasan apa? Adakah kerana alasan dia tidak terpilih sebagai calon BN? Jadi tak akan itu saja.

"Sudah tentu orang-orang di bawah ini matang boleh berfikir apa sebabnya dia nak target Bintong. Kerana saya yang menjadi calon wakil rakyat di Bintong ini?

"Dan dia menggelarkan saya sebagai 'warlord', saya tak pernah tahun pun orang tahu saya sebagai warlord, tapi warlod itu adalah dia (Shahidan) sendiri. Siapa tak tahu bukan sahaja di Perlis tetapi seluruh Malaysia. Sekarang kita boleh lihat wajah sebenar Shahidan Kassim," tegasnya. – Mkini

 

Join our Telegram Channel
Telegram