Cermin diri dulu, Jangan main api, Jangan berlagak kalau hanya berani tanding kawasan Melayu, MCA dikecam pemimpin Umno



Cermin diri dulu, Bung bidas MCA gesa Zahid berundur


PETALING JAYA: Ketua Barisan Nasional (BN) Sabah, Bung Moktar Radin membidas gesaan MCA supaya Pengerusinya, Ahmad Zahid Hamidi berundur sebagai tidak berasas dan tidak “cermin diri”.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu berkata, MCA sepatutnya sedar dengan pencapaian sendiri yang hanya memenangi dua daripada 44 kerusi ditandinginya pada pilihan raya umum ke-15.

“Tidak adil untuk menuding jari kepada hanya seorang pemimpin sedangkan salah sendiri tidak pula diakui, selain MCA dilihat tidak menghormati institusi presiden selaku pucuk pimpinan dalam BN.

“MCA janganlah gesa itu ini, gesa lagi pengerusi kita (Zahid) berundur apa cerita?

“Mereka ini tidak sedarkah hanya dapat menang dua kerusi daripada puluhan kerusi yang diberikan pengerusi kepada mereka, itu pun kerusi yang ada ramai pengundi Melayu.

“Cerminlah diri terlebih dahulu sebelum buat keputusan, kita di BN ini tetap tenang menghadapi situasi, jangan kalutkan keadaan,” katanya dalam kenyataan.


Terdahulu, Setiausaha Agung MCA, Chong Sin Woon meminta Timbalan Pengerusi BN, Mohamad Hasan menggantikan Zahid, susulan pendedahan surat kepada Yang di-Pertuan Agong mendakwa gabungan itu menyokong Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri ke-10.

Katanya, MCA percaya Zahid tidak lagi layak memimpin BN dan perlu meletak jawatan sebagai pengerusi kerana mendakwa surat Zahid itu menyimpang daripada keputusan Dewan Tertinggi BN semalam.

Bung meminta semua pihak bertenang menghadapi senario politik semasa.

“Bagi pihak BN pula, saya berpendapat kita komited dalam status pembangkang seperti yang diputuskan pucuk pimpinan.

“Akan tetapi, sekarang situasinya berbeda pula, kita jadi pembangkang pun kena bising, mahu pro sana pun kena bising, mahu pro ‘sinun’ pun kena bising.

“Jadi saya harap semua pihak bertenang dan untuk kita di BN ini, saya berpendapat, ‘keep calm and trust president’,” katanya. – FMT 


Jangan main api, Pemuda Umno beri amaran MCA


KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki memberi amaran kepada MCA tidak “bermain api” dengan cuba mendesak Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi berundur.

“Dia (Presiden MCA, Wee Ka Siong) sepatutnya letak jawatan dulu sebab dia bertanding 44 kerusi, tetapi menang dua kerusi kawasan orang Melayu.

“Ia bermakna dia gagal mendapat sokongan orang Cina dan perlu mengambil tanggungjawab (letak jawatan) itu,” katanya kepada media di Menara Dato Onn.

Beliau turut mencabar Wee mendedahkan sama ada beliau antara 10 Ahli Parlimen BN yang menyokong Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

“Apakah dia salah seorang yang menandatangani akuan bersumpah (SD) itu? Kalau begitu, maknanya dia kena tindakan disiplin dulu, jangan bermain dengan api, sekarang kita nak pastikan semua 30 Ahli Parlimen BN betul-betul bersatu, kita kena pergi sebagai ‘en bloc’.”


Terdahulu, sumber memberitahu FMT, beberapa pemimpin komponen Umno dan BN antara 10 Ahli Parlimen gabungan itu yang menandatangani SD menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri ke-10.

“Ada seorang pemimpin Umno yang sangat lantang menolak kerjasama dengan Pakatan Harapan. Beliau mengetuai sembilan Ahli Parlimen lain menandatangani SD menyokong Muhyiddin. Antara mereka turut termasuk beberapa ‘nama besar’,” kata sumber.

Tetapi, 10 Ahli Parlimen itu, yang antara lain dari Johor, Pahang, Negeri Sembilan dan Sabah, kemudiannya menarik sokongan kepada pengerusi Perikatan Nasional itu.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung MCA, Chong Sin Woon hari ini meminta Zahid melepaskan jawatan pengerusi BN dan digantikan Timbalannya, Mohamad Hasan, selepas tular surat Zahid kepada Istana Negara berhubung 30 Ahli Parlimen BN menyokong Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

Katanya, MCA percaya Zahid tidak lagi layak memimpin BN dan perlu meletak jawatan sebagai pengerusi kerana mendakwa surat Zahid itu menyimpang daripada keputusan Dewan Tertinggi BN semalam. – FMT 


Ganti Zahid: MCA jangan berlagak kalau hanya berani tanding kawasan Melayu, bidas Jamal Yunos


KUALA LUMPUR: Pengarah Komunikasi Barisan Nasional Selangor, Jamal Yunos, menyifatkan MCA “berlagak” apabila menggesa Pengerusi BN, Zahid Hamidi, digantikan.

Jamal yang juga ketua Umno Sungai Besar berkata MCA patut sedar yang ia hanya menang dua kerusi pada PRU15, tetapi berkelakuan seolah-olah “abang long” dalam BN.

“Melihat perangai MCA, saya rasa BN ini perlu dibubarkan dan Umno bergerak sendirian. Tiada gunanya ada dalam komponen BN tetapi seolah-olah mereka yang jadi abang long, mereka yang besar kepala, padahal mereka tak ada apa-apa pun.

“Bertanding hanya berani di kawasan majoriti orang Melayu. Kalau berani pergilah bertanding di kawasan Seputeh, Bukit Bintang…barulah dia mewakili orang Cina.


“Jadi kalau dia pun bertanding menang dengan undi orang Melayu, jadi buat apalah MCA ini mewakili parti masyarakat Cina?” katanya kepada media di Menara Dato Onn.

Terdahulu, Setiausaha Agung MCA, Chong Sin Woon meminta Timbalan Pengerusi BN, Mohamad Hasan menggantikan Zahid, susulan pendedahan surat kepada Yang di-Pertuan Agong mendakwa gabungan itu menyokong Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri ke-10.

Katanya, MCA percaya Zahid tidak lagi layak memimpin BN dan perlu meletak jawatan sebagai pengerusi kerana mendakwa surat Zahid itu menyimpang daripada keputusan Dewan Tertinggi BN semalam.

Jamal menyifatkan kenyataan pemimpin MCA itu sebagai biadap kerana mengeluarkan kenyataan sebelah pihak, walaupun hadir setiap hari dalam mesyuarat bersama pemimpin tertinggi BN.

“Malam tadi mereka (pemimpin tertinggi BN) bertemu dan berbincang dalam mesyuarat tertinggi BN tetapi perkara itu tidak disebut tetapi hari ini dia mengeluarkan kenyataan bersendirian untuk minta presiden Umno dan pengerusi BN meletakkan jawatan.” – FMT



Join our Telegram Channel
Telegram