Naib presiden Umno Ismail Sabri Yaakob menafikan terdapat pertemuan tertutup
semalam yang melibatkan pemimpin BN dan PAS di sebuah kelab golf di Petaling
Jaya, Selangor.
Menjelaskan perkara itu, Ismail Sabri menyifatkan segala tindakannya kini
disalah tafsir, sehingga dia dianggap pengkhianat jika bertemu dengan rakan
dari PAS sementara pihak yang bertemu dengan pimpinan dari Pakatan Harapan
(PH) dianggap hero.
“Tak betul (pertemuan tersebut). Mana ada perjumpaan melibatkan 10 orang tu.
Tengok senarai nama tu lima orang saja. Ini semua fitnah jahat untuk
merosakkan nama saya.
“Hari ni nak jumpa kawan-kawan pun tak boleh. Jumpa kawan PAS (dianggap) jadi
pengkhianat, jumpa orang PH jadi hero penyelamat parti. Semua orang dah gila,”
katanya kepada Malaysiakini.
Khabar angin berhubung perjumpaan di Tropicana Golf Resort yang diberi julukan
‘Langkah Tropicana’ itu berlegar di media sosial, disertakan dengan beberapa
gambar yang didakwa dirakan ketika pertemuan itu.
Sepuluh pemimpin BN dan PAS dikatakan terlibat pertemuan itu.
Selain Ismail Sabri, pemimpin lain yang didakwa terlibat pertemuan itu ialah
Ketua Umno Bahagian Ketereh Annuar Musa, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin
Hassan, Presiden MCA Wee Ka Siong dan bekas ketua Umno bahagian Putrajaya Tun
Faisal Ismail Aziz.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri menjelaskan semalam dia hanya menghadiri majlis
perpisahan bersama bekas kakitangannya di Jabatan Perdana Menteri (PMO),
tetapi terdapat fitnah yang mengatakan bahawa dia bersama bendahari agung BN
Hishammuddin Hussein.
Bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob bergambar bersama bekas
kakitangannya di Tropicana Golf Resort pada 25 Nov 2022.
Malah menurutnya, pemimpin Umno lain seperti Khairy Jamaluddin turut difitnah,
bahawa dia membuat gerakan untuk melawan presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi.
“Sekarang ni, kerana nak sokong orang lain bentuk kerajaan dan angkat orang
jadi perdana menteri, pemimpin Umno memaki hamun sesama sendiri dan
memecahbelahkan Umno,” katanya.
Khabar angin itu tersebar ketika BN dilihat terbahagi kepada dua kem - antara
mereka yang menyokong kerajaan perpaduan dengan PH, dan mereka yang tidak
bersetuju.
Terdapat juga gesaan sebelum ini dari dalam Umno untuk Ahmad Zahid meletakkan
jawatan selepas presiden Umno itu menghantar surat kepada pihak istana
menyatakan sokongan kepada Pengerusi PH Anwar Ibrahim.
Minta jangan jadi paparazzi
Sementara itu, Presiden MCA Wee Ka Siong turut menafikan dakwaan pertemuan
berkenaan.
Bercakap kepada Malaysiakini, Wee menjelaskan dia cuma ke lokasi berkenaan
untuk menjamu selera dengan rakannya.
“Ini mengarut. Saya sedang menjamu selera (brunch), dimsum bersama dua rakan
di restoran, pada jam 10 pagi semalam,” katanya.
Apabila ditanya sama ada dia ada bertemu dengan pemimpin lain dalam senarai
tersebut, Wee berkata dia ada terserempak dengan Ismail Sabri yang sedang
bersarapan berseorangan.
Katanya, dia hanya menegur ringkas Ismail Sabri dan beredar kerana enggan
mengganggu bekas perdana menteri itu.
“Saya tak nampak orang lain pun. Macam mana saya nak tahu kalau dia ada
perjumpaan ke tak?
“Kamu boleh periksa dengan pengurusan Tropicana, periksa CCTV? Tolonglah, ini
privasi. Macam mana mereka boleh buat macam tu?” katanya.
Menyifatkan individu yang merakam gambar yang diambil sebagai “paparazzi”, Wee
meminta supaya tindakan seumpamanya dihentikan.
“Saya tak terlibat dalam apa-apa pertemuan… saya di sana menikmati brunch
saja,” katanya yang mengulangi dia tidak terlibat dengan mana-mana pertemuan
yang dimaksudkan.
Sementara itu, Annuar turut menafikan dakwaan pertemuan berkenaan apabila
ditanya mengenai perkara itu.
Join our Telegram Channel