Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin hari ini menyanggah kenyataan dibuat salah seorang pemimpin kanan parti komponen itu berhubung isu bekerjasama dengan BN.
Menurut Muhyiddin dia tidak pernah memberi mandat kepada Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, untuk bertindak sedemikian.
"Tujuan PN bertanding dalam PRU ke-15 adalah untuk membentuk kerajaan tanpa perlu bergabung dengan BN atau Pakatan Harapan (PH).
"Saya sebagai Pengerusi PN tidak pernah memberi mandat kepada Datuk Seri Takiyuddin Hassan untuk berunding dengan BN bagi tujuan membentuk kerajaan selepas PRU ke-15," katanya lewat pagi ini.
Terdahulu Malaysiakini melaporkan kenyataan dibuat Takiyuddin berhubung kemungkinan PN membentuk kerajaan persekutuan dengan BN jika gagal memenangi kerusi mencukupi pada 19 Nov ini.
“Saya yakin kita dapat bentuk kerajaan persekutuan sama ada kita sendiri atau gabungan dengan pihak lain termasuk BN," katanya selepas berceramah di Ketereh, Kelantan malam tadi.
Pada masa sama Takiyuddin yang juga calon PN untuk kerusi parlimen Kota Bharu menegaskan, gabungan itu tidak akan menerima kerjasama dengan PH.
Takiyuddin juga menambah kesediaan untuk bekerjasama dengan BN itu turut pernah disuarakan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang yang juga Timbalan Pengerusi PN.
“Presiden PAS ada menyebut sekiranya kita tidak boleh bergabung sebelum PRU ke-15, mungkin selepas PRU kita boleh wujudkan hubungan itu," katanya.
Ketika kini wujud tiga gabungan utama yang bersaing dalam PRU ke-15, banyak pihak menjangkakan tiada mana-mana kumpulan mampu menguasai majoriti Dewan Rakyat pada Sabtu nanti.
Ia membuka kemungkinan berlakunya kerjasam antara gabungan bagi membolehkan sebuah kerajaan baru diwujudkan.
Tiga gabungan utama itu ialah PN, BN dan PH.
Muhyiddin berkata dia yakin PN mampu membentuk kerajaan persekutuan dan negeri tanpa melibatkan pihak lain.
ARTIKEL BERKAITAN:
- PN yakin BN kembali gabung bentuk kerajaan pusat, kata Takiyuddin
- Muhyiddin: Saya tak pernah beri mandat kepada Takiyuddin runding dengan BN bentuk kerajaan selepas #PRU15
- Tak hirau amaran Muhyiddin, Takiyuddin pertahan kenyataan bergabung dengan BN
- PAS rela jadi pembangkang daripada bentuk kerajaan dengan BN, kata Hadi
Join our Telegram Channel