PH memutuskan untuk bersama dalam setiap kempen BN pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, 7 Disember ini.
Setiausaha Agung Amanah, Mohd Hatta Ramli dalam satu kenyataan berkata, PH dan BN buat pertama kalinya akan berkongsi pentas esok sebagai tanda kesepakatan kerajaan perpaduan di peringkat negeri dan nasional.
Ceramah yang akan diadakan di tempat letak kereta Pasar Besar Rompin itu akan menampilkan Pengerusi PH Pahang, Amirudin Shari dan Pengerusi BN Pahang yang juga juga menteri besar, Wan Rosdy Wan Ismail serta presiden Amanah, Mohamad Sabu.
“Parti Amanah Negara memandang pilihan raya negeri bahagian N42 Tioman sebagai satu pertembungan kerajaan baru negeri Pahang dengan kelompok ekstremisme kaum dan agama yang perlu ditangani secara serius.
"Atas semangat itu, Parti Amanah Negara melihat keperluan untuk mewujudkan perpaduan erat komponen kerajaan negeri dalam menentang calon Perikatan Nasional (PN)," kata Hatta dalam satu kenyataan, hari ini.
Sementara itu Bernama melaporkan calon BN, Mohd Johari Hussain berkata dia akan bertemu calon PH, Mohd Fadzli Mohd Ramly dalam masa terdekat untuk membincangkan gerak kerja dan strategi kempen.
"Saya sekarang di peringkat awal perbincangan bersama dengan wakil-wakil tersebut (PH) bagi kita merangka strategi gabungan yang terbaik sebelum melangkah ke peringkat lebih jauh.
"Ini juga adalah bagi memastikan kelancaran dalam kita berkempen kerana ini satu perkara yang bagi saya agak luar biasa berlaku di Pahang," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program bersama penduduk di Kampung Jawa Pantai di Rompin hari ini.
Terdahulu, PH dan Amanah bersetuju untuk memberi laluan kepada calon BN bertanding dalam PRK DUN Tioman.
Langkah tersebut diambil sebagai menunjukkan kesepakatan kerajaan negeri Pahang dan Putrajaya.
PRK Tioman diadakan selepas salah seorang calon bagi DUN tersebut, Md Yunus Ramli, meninggal dunia beberapa jam sebelum pilihan raya umum (PRU) ke-15 pada 19 Nov lalu.
Md Yunus, 61, merupakan calon dari PAS yang sepatutnya mewakili PN.
Selain Md Yunus, ada empat lagi calon yang berdaftar pada 19 Nov lalu iaitu Mohd Johari Hussain (BN), Mohd Fadzli Mohd Ramly (PH), Osman A Bakar (Pejuang) serta Sulaiman Bakar (bebas).
Mohd Johari merupakan penyandang kerusi tersebut.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan penamaan calon bagi PRK Tioman diadakan pada 24 Nov manakala pengundian awal pada 3 Dis.
ARTIKEL BERKAITAN:
- Calon PH Padang Serai meninggal dunia, tukar jadi PRK?
- Calon PN meninggal dunia, PRN DUN Tioman ditangguh
- Calon PN meninggal dunia, PRN DUN Tioman ditangguh
- Calon PH Tioman sedia beri laluan pada BN jika diarahkan
- PH beri laluan kepada BN di Tioman
- PH, BN kongsi pentas di DUN Tioman
- PH sedia kerjasama dengan BN hadapi PRN Selangor, kata Amirudin
- BN setuju beri laluan pada PH di Padang Serai
Join our Telegram Channel